Selasa, 12 Disember 2017 | 5:48pm
ZARINA Yong, 44, yang terselamat dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar- Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong ketika ditemui di Hospital Taiping. - Foto Abdullah Yusof

Dia mahu dengar suara saya sebelum pergi - Zarina

TAIPING: "Saya melihat wajahnya dan berbisik ke telinga supaya terus kuat. Wajahnya tenang dan nampak dia menggerak-gerakkan kelopak mata, mungkin dia mahu mendengar suara saya sebelum pergi," kata Zarina Yong, 44, menceritakan detik pertemuan terakhir dengan suaminya, Ismail Yaacob, 53, sebelum suaminya itu meninggal dunia di Hospital Taiping (HT) pada jam 1.40 pagi tadi.

Zarina berkata, pemergian suaminya yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Santong di Dungun, Terengganu, itu cukup memilukan selepas kematian tiga anak mereka pada hari kemalangan, kelmarin.

Lebih menyedihkan, dia juga tidak dapat hadir pengebumian suaminya, hari ini, dan tiga anaknya di Kuantan, Pahang, semalam, kerana masih menerima rawatan di HT.

Tiga anak mereka iaitu pasangan kembar, Muhammad Hanif dan Nur Ain Hanifah,8, dan Nur Ain Hafizah, 22, meninggal dunia selepas kereta Honda HRV dinaiki enam ahli keluarga itu dirempuh dari belakang oleh treler membawa sisa ikan ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong di Jalan Kuala Kangsar-Gerik di Lenggong pada Ahad lalu.

Ismail dan Zarina parah, manakala seorang lagi anak mereka, Nur Ain Harizah, 13,cedera ringan.

Menceritakan lanjut pertemuan terakhir, Zarina yang ditempatkan di wad bersebelahan suaminya berkata, ia berlaku selepas doktor menasihatinya untuk berbuat demikian, kira-kira 10 minit sebelum suaminya menghembus nafas terakhir.

"Selepas kira-kira 10 minit saya balik semula ke wad, anak datang memaklumkan suami sudah pergi dan saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Zarina berkata, selepas menunaikan fardu haji tahun lalu, suaminya menyatakan hasrat bersara awal tahun depan dan mahu membuka pusat pendidikan mengajar agama.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Mat Isa, ketika dihubungi mengesahkan kematian Ismail pada jam 1.40 pagi dan jenazah arwah dituntut keluarganya di Unit Forensik HT sebelum dibawa ke Kuantan pada jam 12.30 tengah hari untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin iaitu tanah perkuburan sama tiga anaknya dikebumikan semalam.

Berita Harian X