Isnin, 11 Disember 2017 | 6:45pm
TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari ketika sidang media selepas majlis perasmian CMB 2018-2025 di Putrajaya. - Foto BERNAMA

Rangka tindakan komunikasi, multimedia dilancar

Putrajaya: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melancarkan Rangka Tindakan Komunikasi dan Multimedia (CMB) 2018-2025 bagi menyediakan garis panduan yang berkaitan dengan pembangunan teknologi digital.

  

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Jailani Johari, berkata enam teras digariskan dalam memperkasa dan memperkukuhkan sektor komunikasi serta multimedia negara.

"Ini termasuk Menghubungkan Orang (Connecting People); Memperkukuhkan Amanah (Strengthening Trust); Meningkatkan Pembabitan (Intensifying Engagement); Memacu Inovasi (Accelerating Innovation); Memangkin Kreativiti (Catalysing Creativity) dan Memperkasa Bakat (Empowering Talent).

 

"CMB dibangunkan secara komprehensif dan holistik dengan membabitkan kerjasama pelbagai kementerian, agensi kerajaan, industri serta persatuan," katanya kepada media selepas majlis perasmian CMB 2018-2025 di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad

Jailani berkata, perancangan pelan awal itu mengambil masa hampir 15 bulan dan penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau turut mengenengahkan visi CMB 2018-2025 ke arah pembangunan masyarakat yang saling terhubung dan bermaklumat.

"Hari ini, kita turut mengadakan forum bertema 'Digitise and Humanise' dengan menampilkan pakar untuk membentangkan kertas kerja berkaitan CMB ini, yang akan kemas kini dalam merencana hala tuju komunikasi dan multimedia.

  

"CMB ini juga akan mengambil kira pembangunan ekonomi digital negara yang mapan dalam merentasi pelbagai sektor dan pada masa yang sama, menekankan interaksi sosial serta pembangunan identiti kebangsaan yang lebih kukuh," katanya.

Jailani berkata, rakyat juga perlu bergerak dengan pantas terutama dalam saingan dengan peserta industri di luar negara supaya tidak ketinggalan dengan kecanggihan teknologi hari ini dan akan datang.

 

28 dibaca
Berita Harian X