Isnin, 11 Disember 2017 | 6:16pm
MENTERI Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menunjukkan buku Bajet Terengganu 2018 sebelum membentangkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Dewan Undangan Negeri Wisma Darul Iman. - Foto BERNAMA

20 meter padu air percuma di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bajet Terengganu 2018 yang dibentangkan hari ini memperuntukkan pemberian air percuma 20 meter padu untuk penggunaan domestik.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata bagi tujuan itu, sejumlah RM6.3 juta diperuntukkan yang dianggarkan akan memanfaatkan 100,000 kediaman di seluruh negeri.

"Kerajaan negeri tetap komited untuk menjaga kebajikan rakyat khasnya yang membabitkan bekalan air bersih. Malah tarif air di Terengganu adalah yang kedua terendah di Malaysia. 

"Kita berharap rakyat akan tetap menggunakan air dengan bijaksana kerana air adalah sumber terhad," katanya ketika membentangkan Bajet Terengganu 2018 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini.

Ahmad Razif membentangkan bajet defisit sebanyak 10 peratus, buat tahun ketiga berturut-turut, dengan sebanyak RM1.996 bilion untuk perbelanjaan mengurus, berbanding anggaran hasil sebanyak RM1.825 bilion.

Beliau berkata, bajet bertemakan 'Masa Hadapan Yang Lestari' itu juga mencadangkan peruntukan sebanyak RM823.43 juta untuk pembangunan dan RM3.77 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

Ahmad Razif berkata, bajet negeri kali ini adalah menyeluruh daripada bayi sehingga warga emas, kanak-kanak hingga pelajar universiti, wanita dan lelaki, anak dan ibu bapa, serta memberi fokus perkara yang mungkin dianggap kecil bagi sebilangan rakyat, tetapi penting bagi sebahagian rakyat, termasuk mengenai peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perumahan.

"Bajet Terengganu 2018 juga memberi keutamaan kepada yang utama dan segera iaitu keperluan dan kemudahan tertentu untuk rakyat, mengurangkan bebanan dan menyumbang ke arah kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM23.87 juta, untuk bonus dan bantuan khas kewangan sekali gus (one-off) bernilai RM1,500 kepada setiap 12,726 kakitangan awam negeri membabitkan peruntukan RM19.13 juta; selain RM1.99 juta untuk 1,326 imam dan bilal, dan RM2.55 juta kepada 1,701 guru pintar Quran.

"Sebanyak RM1,000 bayaran ini akan diberikan pada Januari tahun depan, manakala baki RM500 menjelang Aidilftiri 2018," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan one-off sebanyak RM500 seorang kepada pemandu teksi, pemandu bas henti-henti dan jurumandi jenazah serta pembantu jurumandi jenazah.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan beban dan usaha menangani peningkatan kos sara hidup, kerajaan negeri memperkenalkan Program Membantu Rakyat (PMR), yang memperuntukkan RM2.64 juta untuk 3,666 ketua isu rumah (KIR) yang tersenarai dalam e-Kasih.

"KIR ini akan diberi kad keahlian dan akan mendapat subsidi bagi setiap pembelian barangan kepeluan asas di T-Mart dan kedai terpilih setiap bulan," katanya.

Untuk kecemerlangan pendidikan pula, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta dengan RM2 juta daripada kerajaan negeri, manakala RM3 juta sumbangan syarikat berkaitan kerajaan.

"Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM126,000 untuk disumbangkan kepada pusat tahfiz berdaftar di Terengganu, selain mewujudkan Kad Generasi Terengganu (Kad Gen-T) yang memberi keistimewaan kepada 40,000 mahasiswa untuk mendapatkan potongan harga apabila membuat pembelian atau menggunakan perkhidmatan terpilih," katanya.

Untuk pembangunan bidang sukan, Ahmad Razif berkata, sejumlah RM1 juta diperuntukkan untuk Anugerah Kecemerlangan Sukan dan kerajaan negeri juga bersetuju membina Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri berdekatan Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak dengan kos RM100 juta.

"Bagi menjayakan agenda memperkasa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) sebagai nadi kerajaan di peringkat akar umbi, sejumlah RM5,000 diperuntukkan kepada setiap J3K di negeri ini membabitkan peruntukan RM5.27 juta," katanya.

 

INFO

  • Bayaran one-off RM500 kepada pemandu teksi dan pemandu bas henti-henti 
  • RM500,000 untuk projek perintis Klinik Bergerak
  • RM500,000 untuk pemeriksaan percuma mamogram dan pap smear
  • RM2 juta bagi Program Jaya Diri 2018 untuk usahawan wanita
Berita Harian X