Ahad, 10 Disember 2017 | 11:30am

Najib sertai pertandingan golf Piala Ahmad Zahid Hamidi

SERI KEMBANGAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini meluangkan masa menyertai Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi 2017 di The Mines Resort & Golf Club.

Perdana Menteri yang diiringi Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan tee-off pada 8 pagi, sekali gus memulakan pertandingan yang turut disertai 129 peserta terdiri daripada barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan pimpinan seluruh negara.

Antara yang menyertai pertandingan pada sesi pagi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyertai Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi 2017 di The Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan. - Foto Zulfadhli Zulkilfi

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur pertandingan, Datuk Seri Azri Mohammad Zain ketika ditemui berkata, seramai 306 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung dua hari bermula semalam.

Azri berkata, penganjuran tahun ini adalah kali kelima sejak ia diperkenalkan pada 2013, dan pertama kali diadakan di The Mines Resort & Golf Club.

Katanya, penganjuran program berkenaan kali ini dilaksanakan dua hari berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan pukulan "Tee Off" ketika menyertai Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi 2017 di The Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan. - Foto Zulfadhli Zulkilfi

"Tujuan kami mengadakan pertandingan ini adalah untuk mengeratkan silaturahim antara sahabat di seluruh negara."

"Datuk Seri Ahmad Zahid melahirkan rasa gembira dan berpuas hati kerana Perdana Menteri sudi menyertai kejohanan kali ini," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima cenderahati lukisan gambar beliau sempena Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi 2017 di The Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan. Turut serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri- menteri kabinet. - Foto Zulfadhli Zulkilfi

Menurut Azri, kejohanan kali ini menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta Proton Perdana 2.0 untuk juara, Perodua Bezza (naib juara), Motosikal SYM (tempat ketiga) dan Motosikal Modenas (tempat keempat).

"Kami menawarkan hadiah hingga tempat ke-60 manakala bagi mereka yang berada di kedudukan ke-61 ke atas akan ada cabutan bertuah pada majlis makan malam nanti. Yang pasti, semua orang akan pulang dengan hadiah," katanya. - BERNAMA

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bergambar bersama peserta pada Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi 2017 di The Mines Resort dan Gold Club. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X