Jumaat, 8 Disember 2017 | 7:30pm
WAKIL Perak dari Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie menyampaikan usul ekonomi ketika Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Rosela Ismail

7 usul ekonomi

KUALA LUMPUR: Harga siling rumah mampu milik yang dibangunkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dicadangkan tidak melebihi RM250,000 bagi membolehkan lebih ramai rakyat terutama Bumiputera memiliki kediaman.

Ia antara tujuh perkara dalam usul ekonomi yang dicadangkan oleh wakil Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 hari ini.

Berucap membentangkan cadangan usul berkenaan, Ketua UMNO Bahagian Taiping itu berkata kebanyakan rumah mampu milik yang dibina Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan UDA Holdings Bhd berharga lebih RM250,000, sekali gus tidak mampu dimiliki Bumiputera.

Katanya, GLC berkenaan membina rumah yang kebanyakannya di atas tanah yang dikenakan premium rendah, tetapi menjualnya pada harga melebihi RM250,000.

"Ini menyebabkan lebih ramai (rakyat) yang mampu marah, mampu benci dan mampu tolak kerajaan yang mentadbir hari ini. Ini hakikat. Apabila soal pemilikan rumah menjadi permasalahan besar, akhirnya ia akan membentuk masyarakat yang meletakkan kesalahan dan mencari-cari kesalahan kerajaan.

"Ditambah dengan percikan api (hasutan) pembangkang, ia akan meletakkan kerajaan yang tidak pernah jenuh memikirkan soal kesejahteraan rakyat, berhadapan dengan kemarahan rakyat.

"Di samping itu, pembinaan rumah melebihi paras kemampuan hanya akan menyebabkan perubahan demografi politik, apabila pemilikan hartanah tidak seimbang daripada komposisi kaumnya," katanya.

Ahmad Shalimin berkata cadangan penetapan harga siling itu berdasarkan kepada pengalaman di Perak apabila kerajaan negeri menurunkan harga siling rumah mampu milik kepada RM250,000.

Katanya, cadangan menurunkan harga siling rumah mampu milik di bawah RM250,000 akan memberi ruang lebih luas kepada PR1MA menjadi peneraju usaha itu khususnya di luar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

"Inisiatif ini boleh dilaksanakan dan terbukti Bumiputera beroleh manfaatnya. Perumahan D'Aman Meru Raya sebagai contoh yang dibangunkan oleh Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak di tengah-tengah kawasan pertumbuhan Meru Raya, Ipoh, yang dijual pada harga RM145,000 menyaksikan lebih 400 unit terjual dengan 90 peratus adalah pembeli Bumiputera.

"Begitu juga dengan projek perumahan Bandar Baru Setia Awan di Manjung yang juga dilaksanakan oleh PKNP dengan harga jualan RM150,000 menyaksikan kesemua 1,000 unit dibeli oleh pembeli Bumiputera.

"Ini menunjukkan pada harga yang benar-benar mampu milik, Bumiputera tidak akan ketinggalan dan mereka mampu untuk membeli dan memiliki. Ini sudah pasti dapat meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya penyelarasan antara GLC berkenaan bagi mengoptimumkan sumber supaya unjuran berdasarkan kepada keperluan dilakukan.

"Selain itu, pelaksanaan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara GLC ini bagi merangka skim yang lebih khusus serta pakej lebih menyeluruh termasuk pakej pinjaman, kaedah sewa beli serta saringan pemilikan," katanya.

Mengenai isu kos sara hidup, Ahmad Shalimin mencadangkan kerajaan memperkenalkan pendekatan yang lebih kreatif dalam menangani isu itu.

Contohnya, baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyertai jualan ikan murah kepada rakyat, berjaya memastikan jualan ikan kembung pada harga bawah RM10, lebih rendah daripada harga pasaran.

"Kita mencadangkan supaya kaedah ini disusun dengan lebih sistematik supaya rakyat mendapat manfaat dan menjadi kaedah lebih menyeluruh serta boleh dilaksanakan di seluruh negara," katanya.

7 Usul Ekonomi

* Mendokong dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagai usaha mensiapsiagakan kaum Bumiputera.

* Menyokong inisiatif kerajaan untuk memperlengkapkan belia dan usahawan dengan pengetahuan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.

* Mencadangkan kepada kerajaan supaya garis panduan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) dijadikan dasar oleh semua syarikat besar termasuk GLC.

* Menyelaras semua agensi kerajaan yang terbabit dengan perumahan mampu milik seperti KPKT, PR1MA, PPA1M, SPNB dan lain-lain untuk menyelesaikan isu perumahan secara total dan holistik.

* Menangani kos sara hidup yang terus meningkat dan menghimpit kehidupan rakyat.

* Mendesak supaya kerajaan mewujudkan ekosistem perniagaan yang bersangkutan dengan pengangkutan awam.

* Mencadangkan Bajet 2018 menjadi asas kepada kepada manifesto Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-14.

15 dibaca
Berita Harian X