Jumaat, 8 Disember 2017 | 3:15pm
PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah bersama Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sektor Hartanah, Datuk Mohammad Ali Hassan dan Pengerusi Koperasi Paku Selangor Berhad, Kamarulzaman Omar bergambar dengan orang ramai pada majlis menandatangani MoU di Wisma Ungku A Aziz di Petaling Jaya, pagi tadi. - Foto Saddam Yusoff

ANGKASA, KOPAKU jalin kerjasama bidang hartanah

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menjalin kerjasama strategik dalam industri pembangunan hartanah bagi meningkatkan pendapatan koperasi di negara ini.

 

Sebagai permulaan, ANGKASA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Koperasi Paku Selangor Berhad (KOPAKU) yang akan menjadi mentor kepada empat koperasi dipilih sebagai penerima geran jaringan koperasi pembekal bahan binaan.

 

Empat koperasi terbabit adalah Koperasi Sri Al Amin Kerteh Berhad (Bhd), Koperasi Alumni Sevotek Taiping Bhd, Koperasi Barakh Sepang Bhd dan Koperasi Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara Bhd.

 

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata langkah itu mampu merangsang pembabitan koperasi dalam industri ekonomi berimpak tinggi.

Katanya, pembabitan koperasi dalam industri ini dianggap satu usaha berani kerana perniagaan ini dimonopoli pihak swasta,

 

"Ia permulaan bagi ANGKASA untuk membantu koperasi lain membabitkan diri dalam industri pembangunan hartanah ini dan ia sejajar Dasar Koperasi Negara 2 untuk mencapai sasaran perolehan koperasi dari sektor ini sebanyak RM5 bilion menjelang 2020," katanya berucap pada majlis menandatangani MoU berkenaan, di Wisma Ungku A Aziz, di sini, pagi tadi.

 

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Aznan Abdul Aziz dan Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sektor Hartanah, Datuk Mohammad Ali Hassan.

 

 Menerusi kerjasama itu, KOPAKU dilantik sebagai mentor bertanggungjawab menyediakan bimbingan pengurusan perniagaan dan menjadi pembekal utama bahan binaan kepada koperasi terpilih.

 

Penerima geran berkenaan diwajib menggunakan logo COOP Hardware: Jaringan Pembekal Bahan Binaan Koperasi sebagai identiti perniagaan diterajui koperasi di bawah kendalian ANGKASA.

 

Geran berjumlah RM20,000 itu diagihkan kepada penerima dalam bentuk aset untuk membantu pengurusan perniagaan.

 

Abdul Fattah berkata, ANGKASA yakin usaha itu akan memberi manfaat kepada ahli koperasi dan rakyat mengurangkan harga pembelian rumah.

 

"Kita percaya lebih banyak koperasi terbabit dalam industri ini, sekali gus mengurangkan perkhidmatan orang tengah, malah sistem diguna pakai ini mampu mengurangkan kos pembelian bahan asas binaan sebanyak 30 peratus,

 

"Sebagai permulaan, sasaran penjualan bahan binaan oleh empat koperasi berkenaan berjumlah RM10 juta untuk tahun depan," katanya.

 

18 dibaca
Berita Harian X