Selasa, 5 Disember 2017 | 6:28pm
SUBRAMANIAM berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama di antara Pharmaniaga, Technology Depository Agency dan Hilleman Laboratories (Hilleman Labs), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia hasilkan 2 vaksin halal

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mempunyai vaksin halal dengan harga berpatutan menjelang tahun 2022.

Ia hasil kerjasama syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), dengan Technology Depository Agency (TDA) dan syarikat penyelidikan farmaseutikal antarabangsa, Hilleman Laboratory (Hilleman Labs).

Perjanjian kerjasama yang dimeterai hari ini akan membangunkan vaksin untuk imunisasi penyakit Meningitis dan difteria.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata Pharmaniaga memperuntukkan pelaburan sebanyak RM100 juta untuk membangunkan fasiliti di sebuah kilang di Puchong, merangkumi mesin untuk menghasilkan vaksin halal.

Beliau berkata, Hilleman Labs yang berpusat di India pula menyumbang kepada pengetahuan dan pemindahan teknologi untuk menghasilkan vaskin halal, yang boleh digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) untuk manfaat rakyat negara ini.

"Bagi proses menentukan status halal vaksin itu, kita akan bekerjasama dengan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

"Kita juga berharap, usaha ini dapat menggalakkan gologan antivaksin supaya berubah dan menerima suntikan vaksin demi kesihatan mereka dalam jangka masa panjang.

"Ketika ini, dianggarkan hanya 1,450 orang enggan atau degil divaksin. Jika dilihat, antara 95 hingga 98 peratus rakyat negara ini menerima suntikan vaksin," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama itu, di sini, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran; Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Datuk Zailani Safari dan Ketua Pegawai Eksekutif Hilleman Labs, Dr Davinder Gill.

Yang turut hadir, Pengerusi Pharmaniaga, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

INFO
Penyakit Meningitis (Meningococcal)

  • Jangkitan disebabkan virus, bakteria atau kulat.
  • Satu daripada bakteria penyebabnya ialah Neisseria meningitidis dan jangkitan oleh bakteria ini dipanggil sebagai jangkitan Meningococcal Meningitis.
  • Penyakit ini kebanyakannya berlaku pada kanak-kanak dan remaja.
  • Ia menyebabkan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang.
  • Mereka yang mempunyai tahap imuniti rendah, kontak terdekat pesakit dan pelancong yang melawat kawasan wabak juga mempunyai risiko tinggi mendapat meningitis.

Penyakit Difteria

  • Jangkitan akut yang menjejaskan sistem pernafasan.
  • Penyakit ini dikesan dalam kalangan orang dewasa di kawasan yang tidak mendapat imunisasi.
  • Ejen penyebab adalah¬†Corynebacterium diphtheriae iaitu bakteria yang dijangkiti oleh virus¬†corynebacteriophage, yang mengeluarkan toksin difteria.
  • Ia akan menjangkiti tekak (tonsil, farinks, larinks, hidung) dan kadangkala selaput mukus lain, kulit , konjunktiva dan kemaluan.
  • Tersebar daripada manusia kepada manusia melalui titisan cecair dan sentuhan fizikal.
200 dibaca
Berita Harian X