Selasa, 5 Disember 2017 | 12:02am
WARTAWAN BH menemu bual seorang pengguna aplikasi sosial yang boleh mencari golongan sejenis sekitar Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Hanya 10 minit 'pancing' pasangan kaum sejenis

KUALA LUMPUR: Hanya 10 minit diperlukan untuk 'memancing' keluar pengguna aktif aplikasi sosial berasaskan seks di satu-satu kawasan, bahkan lebih mudah bagi profil individu yang sudah memiliki 'reputasi' dalam kalangan mereka.

Penemuan itu hasil siasatan wartawan BH dibantu pekerja sosial sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menggunakan satu aplikasi sosial di pusat beli-belah Ampang, kelmarin.

Aplikasi yang dilengkapi teknologi pengesanan lokasi itu turut menyenaraikan lebih 20 individu daripada pelbagai bangsa yang memiliki kecenderungan hubungan sejenis dalam radius beberapa kilometer.

Lebih lima 'umpan' berbentuk mesej mengajak bertemu dilontarkan kepada profil individu yang tersenarai di lokasi sekitar wartawan BH dan satu daripadanya mengena serta sudi bertemu di lokasi ditetapkan.

Beliau yang hanya ingin dikenali dengan nama Deey kebetulan berada 300 meter dari lokasi berkumpul wartawan BH terkejut dengan kehadiran pekerja sosial NGO bersama kami di lokasi temu janji.

Selepas diyakinkan, dia yang berusia akhir 20-an bersetuju untuk ditemubual dengan beberapa syarat.

Deey berkata, dia kini berkhidmat sebagai pegawai profesional sebuah syarikat multinasional dan mula terikut-ikut menggunakan aplikasi itu sejak tahun lalu selepas diperkenalkan rakan.

Katanya, pada mulanya aplikasi itu hanya digunakan untuk mencari rakan baharu yang serasi dengan peribadinya, namun kemudian terjebak lebih jauh disebabkan ketagihan hubungan intim.

"Ramai sebenarnya rakan kami (yang sama cita rasa) terjebak, tidak tahu kesannya melakukan hubungan ini pada mulanya kerana lebih terikut-ikut, tambahan lagi dengan aplikasi ini kami dapat buat dengan diam-diam tanpa pengetahuan keluarga dan teman pejabat.

"Saya tidak tahu kondom hanya berkesan kepada HIV dan bukan jangkitan penyakit kelamin lain. Memang kami selalu dengar ada kawan yang meninggal pada usia muda dikatakan kerana mengidap kanser dan beberapa penyakit lain, namun kami tahu sebab sebenar mereka menghidap penyakit seksual," katanya.

Sementara itu, sukarelawan Majlis Aids Malaysia (MAC) menggunakan aplikasi sosial sama yang diguna pakai golongan transgender, pekerja seks dan individu hubungan sejenis (MSM) untuk mengesan mereka bagi menawarkan khidmat nasihat secara percuma.

Pengarah Eksekutif MAC, Parimelazhagan Ellan, berkata ia satu kaedah paling berkesan bagi mencari golongan terbabit di berlainan lokasi di serata negeri.

Katanya, ini kerana golongan terbabit beralih menggunakan aplikasi berkenaan sejak dua tahun lalu bagi menyembunyikan kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa, berbanding kaedah biasa menawarkan perkhidmatan di jalanan.


PENGARAH Eksekutif MAC, Parimelazhagan Ellan. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Kami menggunakan kaedah ini kerana kumpulan fokus utama yang berisiko tinggi dijangkiti HIV/Aids berada dalam kelompok ini iaitu heteroseksual dan homoseksual.

"Sekarang, kita ada pasukan pengurusan kes yang menggunakan aplikasi sosial untuk mengesan golongan ini untuk menawarkan perundingan secara percuma.

"Setakat ini, daripada 10 program yang dilaksanakan sepanjang tahun ini, kami sudah menguruskan 3,800 kes yang berjaya didekati, diuji positif HIV/Aids dan dibawa ke klinik untuk rawatan," katanya kepada BH.

Ellan berkata, perkembangan itu adalah sesuatu yang membimbangkan lebih-lebih lagi aplikasi sosial berkaitan seks luar tabii memiliki jumlah pengguna melebihi 200,000 akaun di seluruh dunia.

Sehubungan itu, katanya, sukarelawan dilatih secara profesional bagi pengurusan kes pelanggan dan aplikasi kerana ia membabitkan kepercayaan di antara sukarelawan dengan pelanggan.

"HIV berlegar sekitar individu yang mengambil suntikan dadah (IDU), golongan seksual MSM, transgender dan pekerja seks. Oleh itu, kita perlu kawal jangkitan dalam kelompok ini secara langsung supaya tidak merebak kepada orang awam.

"Pendidikan seks tidak diajar secara mendalam dan stigma masyarakat (terhadap amalan seks selamat) masih sukar dibuang," katanya.

INFO

  • Menerusi 10 program yang dilaksanakan tahun ini, MAC sudah menguruskan 3,800 kes yang berjaya didekati, diuji positif HIV/Aids dan dibawa ke klinik untuk rawatan.
  • Satu aplikasi sosial berkaitan seks luar tabii memiliki jumlah pengguna melebihi 200,000 akaun di seluruh dunia.
  • Deey yang berkhidmat sebagai pegawai profesional sebuah syarikat multinasional mula menggunakan aplikasi itu sejak tahun lalu selepas diperkenalkan rakan.
Berita Harian X