Isnin, 4 Disember 2017 | 6:17pm
PRESIDEN KGMMB, Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad. - Foto Amirudin Sahib

KGMMB, KGLMSM kecewa sikap PAGE

JERANTUT: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) kecewa dengan tindakan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim, memberi amaran kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan berhubung isu pelajar Islam bersolat Zohor berjemaah sebelum dibenarkan pulang.

Presidennya, Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad, berkata pihaknya menyifatkan arahan PPD itu sangat bagus dalam membentuk keperibadian pelajar dan sepatutnya disokong semua pihak.

"Saranan itu adalah bertepatan dengan tuntutan agama Islam sendiri yang mewajibkan penganutnya bersolat lima waktu... apatah lagi jika boleh melakukan (solat) secara berjemaah, sudah pasti ia lebih baik.

"Ini juga adalah sebagai persediaan kepada pelajar untuk menjadi pemimpin... mereka juga akan dilatih sebagai imam atau bilal oleh ustaz sekolah masing-masing. Ia sangat bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi rujukan semua pihak sekolah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Sabri berkata, Noor Azimah sepatutnya meneliti terlebih dahulu saranan itu secara mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan yang dilihat sebagai sangat emosional.

Katanya, melalui amalan Rohani, Jasmani, Emosi dan Intelek (JERI) yang menjadi antara komponen utama FSK adalah cara paling berkesan untuk membentuk sahsiah diri murid dan pelajar.

"Sebenarnya, amalan ini tidak menjejaskan murid atau pelajar dari agama lain... tidak menyentuh sedikit pun keharmonian antara mereka memandangkan saranan ini hanya membabitkan murid dan pelajar beragama Islam sahaja," katanya. 

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Anuar Hussin, berkata saranan PPD Kuantan berkaitan  amalan mengadakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang adalah usaha yang bagus untuk mengukuhkan ketahanan diri dan menerapkan nilai keagamaan kepada generasi muda.

"Peraturan seperti ini tidak harus dilihat sebagai beban hingga dianggap seolah-olah menyisihkan pelajar lain (bukan Islam). Saya percaya, mereka sedia maklum dengan ajaran agama Islam yang mengutamakan aspek kerohanian dalam kehidupan," katanya.

Rabu lalu, Pegawai PPD Kuantan, Mohd Razali Mustafar, berkata semua sekolah di daerah itu wajib mengadakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah dalam usaha memperkukuhkan ketahanan diri pelajar.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak dipersetujui Noor Azimah yang mengingatkan pengetua sekolah dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri bahawa sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu mahupun sekolah agama.

Katanya, ibu bapa dengan anak yang berminat dalam agama boleh menghantar mereka ke sekolah agama atau tahfiz kerana ia lebih khusus.

39 dibaca
Berita Harian X