Isnin, 4 Disember 2017 | 5:07pm
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad. - Foto BERNAMA

SPRM siasat sektor swasta, korporat

KUALA LUMPUR: Kekurangan maklumat dan laporan salah guna kuasa serta rasuah daripada sektor swasta menyukarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan di sektor berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata pekerja sektor swasta perlu tampil memberi maklumat jika ada gejala berkenaan di tempat kerja mereka.

 

"Walaupun penekanan kami kepada sektor awam, namun dasar SPRM turut menyiasat sektor swasta, korporat dan kerajaan negeri serta mana-mana laporan diterima akan diambil tindakan dan siasatan lanjut.

"Begitu juga pemberi rasuah, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan," katanya kepada media selepas menjadi penceramah program Kemuncak Pengupayaan Generasi Muda (MES)  2017 anjuran Majlis Presiden Biro Pelajar Luar Negara (BPLN), di sini, hari ini.

   

Program sehari sempena Perhimpunan Agung UMNO, mulai esok hingga Sabtu ini dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.

   

Seramai 500 peserta menghadiri wacana bertema 'Rasuah'  berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, meminta SPRM tidak hanya menumpukan pembanterasan rasuah dalam sektor awam, sebaliknya swasta dan korporat juga perlu diberi perhatian.

   

Terdahulu dalam sesi, soal jawab, Dzulkifli berkata beliau tidak pernah menerima tekanan dan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyiasat sesuatu kes.

 

Sebaliknya, SPRM diberi kuasa penuh menyiasat siapa saja tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik. 

 

Mengenai siasatan terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hanya dijalankan selepas menubuhkan parti baharu, beliau berkata ia dilakukan selepas menerima laporan mengenainya.

 

"Tiada isu lambat bertindak dalam kes ini. Bila ada laporan kita akan siasat dan ambil tindakan sewajarnya, sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa atau sebaliknya.

"Siapa sangka siasatan kes rasuah membabitkan jutaan ringgit  berlaku dalam Jabatan Air di Sabah... ramai terkejut dengan kes berkenaan," katanya.   

Berita Harian X