Isnin, 4 Disember 2017 | 12:05am
SEKURANG-KURANGNYA lima aplikasi sosial berkaitan temujanji seks dipercayai aktif digunakan di negara ini. - Foto hiasan
PAKAR Patologi dan Perunding Perubatan Mikrobiologi Lablink Medical Laboratory, Lablink (M) Sdn Bhd, Dr Muhammad Nazri Aziz. - Foto Zunnur Al Shafiq
APLIKASI temujanji secara terang-terangan menawarkan kemudahan mencari pasangan sejenis dan menggalakkan penyertaan golongan individu heteroseksual, homoseksual dan biseksual. - Foto Hafiz Sohaimi

Aplikasi sosial, temujanji seks aktif digunakan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima aplikasi sosial berkaitan temujanji seks dipercayai aktif digunakan di negara ini sebagai platform pengguna berinteraksi mencari pasangan dengan keinginan sama.

Lebih mengejutkan, tinjauan dan penyamaran BH Bongkar menggunakan beberapa aplikasi itu selama sebulan mendapati platform itu turut dimanfaatkan warga asing yang mendakwa memiliki kerjaya dalam bidang profesional bagi mendapatkan teman warga tempatan.

Tidak hanya menyediakan perkhidmatan 'padanan pasangan' berlainan jantina yang mengamalkan seks bebas, beberapa aplikasi temujanji itu secara terang-terangan menawarkan kemudahan mencari pasangan sejenis dan menggalakkan penyertaan golongan individu heteroseksual, homoseksual dan biseksual.

Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan disalahgunakan segelintir individu tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah dan menggalakkan penyebaran penyakit jangkitan seksual (STI) serta HIV/Aids.

Kebanyakan aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma dan diakses menerusi telefon pintar menyebabkan pengguna dalam kalangan profesional, penuntut institusi pengajian tinggi dan remaja mudah tertarik untuk terjebak dalam kancah sosial.

Dengan hanya membuat akaun palsu atau menggunakan kad sim pendua, pengguna boleh membuka akaun dan menggunakan aplikasi berkenaan untuk berhubung kerana ia menyediakan pautan yang praktikal serta menjimatkan masa dalam mencari pasangan serasi di satu-satu kawasan.


APLIKASI temujanji secara terang-terangan menawarkan kemudahan mencari pasangan sejenis dan menggalakkan penyertaan golongan individu heteroseksual, homoseksual dan biseksual. - Foto Hafiz Sohaimi

Aplikasi itu memudahkan carian penggunanya dengan menawarkan satu senarai panjang profil individu lelaki dan wanita berpotensi dan jika berminat, pengguna hanya perlu meninggalkan mesej untuk mempelawa mengadakan temu janji.

Menerusi beberapa aplikasi, wartawan BH Bongkar menerima banyak pelawaan bertemu dan bersosial khususnya daripada pengguna aplikasi sosial lain yang kebanyakannya dipercayai berasal dari negara Afrika dan Asia Barat.

Bahkan, segelintir pengguna aplikasi sosial terbabit tanpa segan silu berterus-terang mengakui menggunakan platform terbabit bagi mencari hubungan satu malam (one night stand) tanpa terikat dengan sebarang komitmen.

Sementara itu, aplikasi sosial berkaitan temujanji seks atas talian dikesan menjadi antara penyumbang terbesar lonjakan kes baharu jangkitan penyakit seksual (STI) termasuk HIV/Aids di negara ini.

Berdasarkan data terkini Sektor HIV/STI Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, kes baharu jangkitan HIV menerusi aktiviti seksual di Malaysia melonjak 2,864 kes pada 2016 berbanding hanya 983 pada 2009.

Sementara data jangkitan penyakit kelamin gonorea juga menyaksikan peningkatan mendadak dengan kadar 9.3 kes jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia tahun lalu berbanding kadar 1.9 kes pada 2006.

Sifilis turut menyaksikan peningkatan ketara kadar 6.7 kes jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia pada 2016 berbanding pada kadar 3.06 untuk tempoh 2006 sebelumnya.


PAKAR Patologi dan Perunding Perubatan Mikrobiologi Lablink Medical Laboratory, Lablink (M) Sdn Bhd, Dr Muhammad Nazri Aziz. - Foto Zunnur Al Shafiq

Pakar Patologi dan Perunding Perubatan Mikrobiologi Lablink Medical Laboratory, Lablink (M) Sdn Bhd, Dr Muhammad Nazri Aziz, berkata lonjakan jumlah kes baharu bagi penyakit yang berjangkit disebabkan aktiviti seksual di Malaysia kini sangat membimbangkan.

Katanya, menerusi sesi kaunseling bagi kes jangkitan STI dan HIV yang dikesan di makmal perubatan milik gergasi hospital swasta Malaysia itu, pihaknya dapati sebahagian besar penghidap STI mengakui menggunakan aplikasi padanan temujanji untuk mencari pasangan.

"Ramai daripada mereka adalah pelajar dan generasi muda yang mana pada sesi kaunseling selepas ujian mereka mengakui memahami risiko HIV dan mengamalkan seks selamat, namun tidak sedar seks selamat tidak melindungi daripada jangkitan seksual lain termasuk genital herpes, gonorea, sifilis dan trichomoniasis.

"Mereka mengakui menggunakan aplikasi sosial yang memudahkan mereka mengenal pasti individu dengan minat seks sama.

"Mereka menyatakan aplikasi berkenaan membolehkan mereka berhubung dengan orang di sekitar iaitu sekiranya dia adalah lelaki yang mengamalkan hubungan sejenis (MSM) maka mereka akan dihubungkan dengan orang yang mahukan hubungan sama.

"Lebih membimbangkan, ada kumpulan industri seks lain datang ke Malaysia, sebagai contoh sekumpulan MSM dari Vietnam. Mereka boleh mengetahui kumpulan itu datang ke Malaysia menerusi aplikasi sosial ini," katanya kepada BH di sini.

Data Sektor HIV/STI itu turut membuktikan penyumbang terbesar kes baharu jangkitan HIV di Malaysia pada 2016 adalah daripada kes membabitkan hubungan pasangan sejenis mewakili 1,553 kes manakala pasangan heteroseksual sebanyak 1,311 kes.

Golongan muda dan pelajar berusia antara 20 tahun hingga 29 tahun adalah kumpulan terbesar kes jangkitan baharu HIV tahun lalu mewakili sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan 3,397 kes manakala profesional dan berkerjaya berusia 30 hingga 39 tahun sekitar 31 peratus.

INFO

  • Kebanyakan aplikasi sosial boleh dimuat turun secara percuma dan diakses menerusi telefon pintar.
  • Aplikasi sosial memudahkan pengguna mengenal pasti individu dengan minat seks sama.
  • Penyumbang terbesar kes baharu jangkitan HIV di Malaysia pada 2016 adalah daripada kes membabitkan hubungan pasangan sejenis mewakili 1,553 kes.
Berita Harian X