Ahad, 3 Disember 2017 | 6:29pm
FOTO hiasan.

Solat jemaah, amali bantu pelajar hayati ajaran Islam

PUTRAJAYA: Subjek teras Pendidikan Islam (PI) di sekolah, bertujuan melahirkan pelajar yang menghayati asas ajaran Islam, selain penyampaian ilmu dalam sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya, berkata di sekolah rendah dan menengah, kurikulum PI menyediakan waktu khusus untuk aktiviti amali solat bagi membolehkan murid menghayati atau mengamalkan ilmu yang dipelajari khususnya solat fardu.

"Dari segi pelaksanaan, sekolah boleh menggunakan pelbagai strategi dan pendekatan untuk menyusun serta menstrukturkan jadual waktu persekolahan bagi membolehkan guru dan murid melaksanakan amalan yang baik ini sebagai pengukuhan kepada ilmu yang dipelajari dalam PdPc

"Selain itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga berperanan memantau dan memberi nasihat kepada sekolah untuk memastikan pelaksanaan aktiviti amali ini dilaksanakan.

"Ia sebagai salah satu usaha untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Rabu lalu, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar, berkata semua sekolah di daerah itu wajib mengadakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah dalam usaha memperkukuhkan ketahanan diri pelajar.

Katanya, sembahyang antara pengisian utama pihaknya membina karektor warga sekolah, khususnya murid untuk mencegah perkara negatif dalam mengharungi dunia yang kian mencabar.

Bagaimanapun pendekatan itu mendapat kritikan beberapa pihak termasuk Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim, yang mengingatkan pengetua sekolah dan JPN bahawa sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu mahupun sekolah agama.

Katanya, ibu bapa dengan anak yang berminat dalam agama boleh menghantar mereka ke sekolah agama atau tahfiz kerana ia lebih khusus.

tamat

33 dibaca
Berita Harian X