Sabtu, 2 Disember 2017 | 7:12pm
Majlis pengebumian Pengasas dan Pengerusi pertama Kelab Veteran UMNO, Tan Sri Tajudin Ali 95, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ara, Pantai Besar, Batu Kurau. - Foto Noor Raidah Awang

Pengasas, bekas pengerusi Kelab Veteran UMNO meninggal dunia

TAIPING: Jenazah pengasas dan Pengerusi pertama Kelab Veteran UMNO, Tan Sri Tajudin Ali, 95, yang meninggal dunia di kediamannya di Hala Gopeng off Jalan Sultan Azlan Shah di Ipoh, selamat dikebumikan selepas solat Asar tadi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ara, Pantai Besar, Batu Kurau, di sini bersebelahan kubur kedua ibu bapanya.

Tajudin yang juga bekas Ahli Parlimen Larut selama tiga penggal bermula 1959 dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau pada 1974 serta dilantik sebagai EXCO Kanan Kerajaan Perak, meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Anak Allahyarham, Amirudin, 53, berkata ayahnya dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Ipoh sejak dua minggu lalu, dipercayai kerana jangkitan paru-paru dan dibawa pulang ke rumah dua hari lalu sebelum meninggal dunia.

"Sebelum meninggal dunia, beliau selalu cakap dan sangat berharap supaya orang Melayu kembali bersatu dan tidak berpecah-belah. Beliau pejuang parti yang kental dan sangat sayangkan parti malah selalu berbincang mengenai hal ehwal politik semasa bersama kami.

"Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sempat datang ke rumah menziarahi ayah, tetapi Allah lebih sayangkannya," katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ara.

Tajuddin meninggalkan isteri, Puan Sri Putri Sharifah Megat Abd Rahman yang kini turut terlantar sakit di kediamannya dan sembilan anak.

35 dibaca
Berita Harian X