Sabtu, 2 Disember 2017 | 5:11pm
PENAUNG Yayasan Amal Wangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique bergambar bersama murid pada Program Ceria ke Sekolah anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Yayasan Amal Wangsa. - Foto Supian Ahmad

600 pelajar dapat bantuan persekolahan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 600 murid dari 18 sekolah rendah di Parlimen Setiawangsa menerima sumbangan persekolahan sesi 2018.

Bantuan beg sekolah dan baucar bernilai RM100 itu diberikan sempena Program Ceria ke Sekolah anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Yayasan Amal Wangsa.

Penaung Yayasan Amal Wangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique, berkata program berkenaan adalah satu daripada inisiatif kecemerlangan pendidikan di Parlimen Setiawangsa.

"Ini tahun kelima Program Ceria ke Sekolah diadakan di kawasan ini bagi membantu murid membuat persiapan memulakan sesi persekolahan sesi 2018.

"Bantuan diberi kepada murid memerlukan, terutama daripada keluarga berpendapatan rendah," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan di Wangsa Maju, hari ini.

Zulhasnan berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM10 juta disediakan oleh YWP.

YWP juga menyediakan biasiswa pendidikan untuk peringkat sekolah dan pengajian tinggi, bengkel peperiksaan serta bantuan makanan sekolah di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan.

Program Ceria ke Sekolah mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk Parlimen Setiawangsa.

Samura Liman, 34, pertama kali menerima bantuan berkenaan bagi anaknya Nur Hawa Fatiha Roslan, 9, yang akan memasuki Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn.

"Bantuan ini banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Ibu tunggal, Kuay Lay Kuan, 27 berkata bantuan itu amat bermakna buatnya.

"Saya menerima borang ini daripada guru dan terus memohon. Sebagai ibu tunggal, pemberian ini amat bermakna untuk persediaan anak saya, Angle Kuay, memasuki persekolahan tahun dua," katanya.

Rozita Osman, 45, berkata program seperti itu dapat membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah terutama penduduk kawasan Wangsa Maju dan Setiawangsa.

"Terima kasih YWP dan Yayasan Amal Wangsa kerana sentiasa prihatin dengan masyarakat," katanya.

Berita Harian X