Khamis, 30 November 2017 | 4:54pm
MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong. - Foto Yazit Razali

Haramkan minyak sawit Malaysia, perbuatan hina Parlimen EU

PUTRAJAYA: Langkah mengecualikan biofuel kelapa sawit daripada tenaga diperbaharui Kesatuan Eropah (EU) adalah penindasan bersifat pilih kasih serta langkah ke belakang dalam hubungan perdagangan EU dan Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata undian Jawatankuasa Industri, Penyelidikan dan Tenaga (ITRE) Parlimen EU untuk mengesahkan pengharaman biofuel kelapa sawit di Eropah, di bawah Arahan Tenaga Diperbaharui EU (RED) adalah langkah mundur untuk hubungan perdagangan EU dan Malaysia.

Katanya, kerajaan akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk melindungi hak 650,000 petani kecil dan menjamin masa depan sektor minyak sawit yang mengeluarkan jutaan rakyat Malaysia daripada belenggu kemiskinan.

"Selain ITRE yang dilaksanakan pada 28 November lalu, saya merujuk kepada undi Jawatankuasa Alam Eropah (ENVI) pada Oktober 2017 yang jelas menunjukkan EU sengaja merancang untuk menyekat import biofuel minyak kelapa sawit.

"Sebarang percubaan untuk membezakan, atau tidak memasukkan biofuel kelapa sawit akan memberi kesan negatif kepada kerjasama perdagangan Eropah-Malaysia dan rantau Asia Tenggara dalam konteks yang lebih luas.

"Bagaimanapun, ITRE menyokong pula pengeluar minyak bijian lain yang menjadi saingan kita untuk terus berpayung di bawah RED sedangkan minyak sawit dikecualikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siew Keong menegaskan, kerajaan Malaysia tidak dapat menerima sekatan perdagangan yang bersifat melindungi pihak tertentu, yang bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).

Katanya, selaku peneraju peringkat global penghasilan minyak sawit mapan, Malaysia memberi komitmen serius dalam mewajibkan semua pengeluar minyak sawit negara mematuhi syarat persijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MPSO).

Malah, usaha melindungi hutan Malaysia jauh lebih berkesan berbanding kebanyakan negara Eropah di mana pengeksport biofuel kelapa sawit negara diiktiraf antara yang termaju di dunia termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia.

"Malaysia juga adalah penerima Sijil Kemapanan dan Karbon Antarabangsa daripada Jerman atau German ISCC, sekali gus membuktikan pengeksport Malaysia menepati standard ketat yang ditetapkan pelanggan di Eropah.

"Ini secara tidak langsung membuktikan tindakan Ahli Parlimen EU memperlekehkan minyak sawit Malaysia sebagai perbuatan yang hina dan memperkecilkan diri sendiri kerana cuba menghasut Parlimen EU supaya menolak minyak sawit Malaysia.

"Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk K Yogeesvaran, diberi tanggungjawab memantau perkembangan di Parlimen EU terutama sentimen Ahli Parlimennya, berkaitan minyak sawit Malaysia," katanya.

136 dibaca
Berita Harian X