Selasa, 28 November 2017 | 6:06pm
(Dari kiri) Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/206 Kategori A : Buku Sastera Dewasa, Jasni Matlani, Ali@ Azam Awang, Zainal Palit dan Hafizah Iszahanid bersama hadiah yang diterima pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2015/2016 di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Wartawan BH ungguli 2 kategori HSPM

KUALA LUMPUR: Wartawan BH, Hafizah Iszahanid, mengungguli kategori Buku Sastera Dewasa (novel) dan Cerpen Eceran pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2015/2016, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan masing-masing menerusi karya Bukan Orang-orang dan Cerita-cerita Tentang Lidah, sekali gus membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas.

Hafizah berkata, kemenangan kali pertama dalam HSPM adalah di luar jangkaan memandangkan penilaian membabitkan novel yang diterbitkan sepanjang tempoh dua tahun.

"Walaupun begitu, saya bersyukur dan berasa sungguh bertuah apabila terpilih memenangi anugerah yang tertinggi dalam bidang sastera ini," katanya.

Hafizah yang mula menceburi bidang sastera sejak 23 tahun lalu pernah memenangi pelbagai anugerah sastera dengan terbaru iaitu Hadiah Sastera Darul Ridzuan 2016 menerusi karya kumpulan cerpen Perempuan Berambut Merah.

HSPM 2015/2016 turut mempertandingkan kategori Cerpen Eceran Remaja, Puisi Eceran, Esei/Kritikan Sastera Eceran, Drama Eceran, Kesusasteraan Kanak-kanak dan Kesusasteraan Remaja.

Majlis sama turut menyampaikan anugerah kepada pemenang Hadiah Sastera Tunas Cipta 2015/2016.

Sementara itu, Mahdzir berkata DBP kini dalam usaha menubuhkan Jawatankuasa Khas Anugerah Sastera Antarabangsa yang berperanan mempromosi dan mengangkat karya sastera tempatan setanding pengiktirafan peringkat antarabangsa seperti Hadiah Nobel dan Anugerah Sastera Dublin.

Beliau berkata, insentif berbentuk dana tahunan juga akan diwujudkan sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap inisiatif berkenaan, sekali gus membolehkan jawatankuasa itu melaksanakan fungsinya.

"Kesusasteraan tidak pernah tersisih sebagai kelas kedua atau ketiga kerana pembangunan fizikal semata-mata tidak mampu membangunkan hal-hal berkaitan dengan kemanusiaan," katanya

Berita Harian X