Rabu, 22 November 2017 | 1:48pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ketika hadir di Hari Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ketika hadir di Hari Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu.

SL1M sasar bantu 25,000 dapat kerja tahun depan

KOTA KINABALU: Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) menyasarkan 25,000 pencari kerja di seluruh negara mendapat manfaat menerusi temu duga terbuka yang dilaksanakan menerusi skim itu pada tahun depan.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata sasaran itu bertambah berbanding 20,000 orang sebelum ini selepas melihat jumlah pencari kerja memperoleh pekerjaan meningkat setiap tahun hasil inisiatif program berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah membantu lebih 140,000 graduan atau pencari kerja mendapatkan pekerjaan sejak SL1M dilaksanakan pada tahun 2011.

"Sebelum ini, kita meletakkan sasaran 20,000 individu mendapat pekerjaan setiap tahun, namun bermula tahun depan jumlah ini meningkat kerana kita mampu melepasi sasaran diberikan sepanjang tujuh tahun penganjuran program temu duga terbuka ini," katanya selepas Majlis Perasmian Hari Terbuka SL1M 2017, di sini, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Yang turut hadir, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan.

Lebih 10,000 pencari kerja hadir pada hari terbuka berkenaan yang diadakan di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK), Sepanggar dengan kira-kira 2,000 kekosongan pekerjaan membabitkan 30 syarikat ditawarkan. Ia lokasi kelapan dan terakhir selepas Hari Terbuka SL1M di Perak serta Melaka.

Temu duga sama pernah dilaksanakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Julai lalu dan kembali semula selepas menerima sambutan luar biasa daripada pencari kerja di negeri ini.

Selain temu duga terbuka, antara aktiviti lain sepanjang Hari Terbuka SL1M 2017 termasuk persembahan artis popular, cabutan tiket bertuah dan gerai jualan.


ABDUL Rahman hadir merasmikan Hari Terbuka SL1M di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu dan menyampaikan 500 peralatan sekolah kepada pelajar, baru-baru ini.

Norashikin berkata, beliau yakin penganjuran temu duga terbuka oleh pihaknya itu mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya golongan muda mendapat pekerjaan.

Sementara itu, mengenai pembaharuan SL1M 2018, beliau berkata, pihaknya merancang memasuki lebih banyak universiti di seluruh negara bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada mahasiswa tahun akhir.

"Kita juga mahu memberi pendedahan awal kepada mahasiswa situasi sebenar sesi temu duga, selain mereka perlu lebih bersedia menghadiri temu duga.

"Universiti adalah lokasi terbaik untuk penganjuran program SL1M kerana ia bakal melahirkan ramai graduan yang memerlukan pekerjaan selepas tamat pengajian. Bagaimanapun, kita tetap mengadakan program sama di lokasi lain mengikut zon di seluruh negara," katanya.

 

'Gembira terus dapat kerja'

"Saya bersyukur dapat melepasi sesi temu duga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). Tidak sangka percubaan kali pertama hadir program ini terus membuahkan hasil," kata Alvin Rixy Supri, 23, yang ditawar menjalani latihan sebelum ditawarkan sebagai anggota penyelamat di Legoland, Johor Bahru selepas hadir Hari Terbuka SL1M di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, Sepanggar, baru-baru ini.

Alvin Rixy yang datang dari Kota Belud, berkata dia tidak menyangka hasratnya datang ke sesi temu duga itu untuk mencuba nasib bertukar menjadi pengalaman berharga apabila terus diterima menjalani latihan di taman tema berkenaan.

"Selepas selesai temu duga, penemuduga itu mengatakan saya layak memohon jawatan itu dan perlu menunggu panggilan seterusnya," katanya kepada BH.

Ditanya kenapa memilih jawatan itu, Alvin Rixy berkata, minatnya bekerja di taman tema timbul selepas berpeluang bekerja di Sunway Lagoon, Selangor pada tahun lalu.

Beliau berharap pekerjaan ditawarkan itu dapat meluaskan lagi pengalaman kerja, selain mampu menampung perbelanjaan keluarga.

Sama seperti Alvin Rixy, seorang lagi pengunjung Hari Terbuka SL1M 2017, Joice Shih Kah Yee, 19, menyatakan kali pertama datang ke program itu memberi pengalaman dalam usahanya mencari pekerjaan.

Kah Yee berkata, beliau baru selesai peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan hadir ke program berkenaan untuk melihat peluang ditawarkan.

"Temu duga terbuka ini bagus untuk belia khususnya mereka yang baru menamatkan pengajian di semua peringkat.

"Program ini membolehkan pencari kerja tidak perlu bersusah-payah mencari kekosongan dan hanya perlu datang ke lokasi dimaklumkan dengan persediaan rapi," katanya yang hadir bersama rakan.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Agensi Pelaburan Mara Berhad (PMB) Investment, Yong Yin Kong, berkata pihaknya mencari calon bersesuaian bagi mengisi kekosongan jawatan Eksekutif Pemasaran dan Perunding Unit Amanah.

"Kami mencari sekurang-kurangnya tiga pekerja berkelayakan untuk jawatan Eksekutif Pemasaran, manakala 50 calon bagi Perunding Unit Amanah.

"Setakat ini, lebih 60 calon sudah menghadiri temu duga dan ada antara mereka datang dengan persediaan lengkap, namun masih ada individu hadir tanpa persiapan sepatutnya," katanya.

Berita Harian X