Rabu, 22 November 2017 | 1:12pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. - Foto Mahzir Mat Isa

Program elak keciciran sekolah

KUALA LUMPUR: Peratus keciciran murid sekolah rendah di Semenanjung Malaysia ialah antara 0.26 hingga 0.74 peratus bagi 2014 hingga 2016.

Kadar Di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan antara 0.05 hingga 0.10 peratus.

Keciciran murid sekolah menengah bagi tahun sama pula mencatatkan purata 1.09 hingga 3.59 peratus di Semenanjung Malaysia.

Sabah, Sarawak dan Labuan mencatatkan keciciran murid antara 0.41 hingga 1.18 peratus.

Bagi menangani masalah keciciran, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata kementeriannya memberi tumpuan terhadap peningkatan akses daripada peringkat prasekolah hingga menengah dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Melalui inisiatif itu, beliau berkata, pihaknya menyediakan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko bagi membendung masalah keciciran murid.

"Satu modul intervensi juga disediakan sebagai panduan kepada guru untuk menjalankan program intervensi bagi murid berisiko cicir, agar mereka kekal bersekolah sehingga tamat Tingkatan Lima.

"Garis panduan dan modul intervensi murid berisiko cicir itu sedang dirintis di tiga negeri, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kedah sebelum diperluaskan ke seluruh negara pada 2018," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) berhubung jumlah pelajar yang keciciran di peringkat sekolah rendah dan menengah.

INFO

Bantuan untuk pelajar miskin

- Pemberian buku teks secara percuma

- Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

- Program Susu 1Malaysia (PS1M)

- Pembinaan asrama sekolah untuk murid miskin

- Bantuan yuran khas sekolah

- Bantuan tambahan persekolahan

- Bantuan awal persekolahan

- Kumpulan Wang Amanah Murid Miskin (KWAMP)

- Bantuan pakaian seragam dan badan uniform

- Bantuan makanan asrama

- Bantuan kenderaan asrama

- Biasiswa Kecil Persekutuan

125 dibaca
Berita Harian X