Selasa, 21 November 2017 | 2:37pm
LIOW Tiong Lai mencuba permainan tradisional Batu seremban ketika melawat Anjung Malaysia selepas merasmikannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

20 lagi kesalahan dalam AWAS

SEPANG: Memandu menggunakan telefon bimbit adalah antara 20 kesalahan yang akan dimasukkan dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), berkuat kuasa tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah itu bertujuan mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan.

"Sistem demerit AWAS yang kita lancarkan awal tahun ini hanya meletakkan dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

"Namun banyak juga faktor lain yang turut menyumbang kepada kes kemalangan seperti memotong di garisan berkembar, salah guna laluan kecemasan dan menggunakan telefon bimbit.

"Saya bimbang dengan kemalangan membabitkan pemandu yang guna telefon bimbit dan kemalangan jenis ini semakin meningkat. Kita ada data-data yang menunjukkannya, justeru kita perlu memasukkannya dalam sistem demerit ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Anjung Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

AWAS adalah gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

Melalui AWAS, pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas akan diberi mata demerit mengikut kesalahan yang disenaraikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kesalahan memandu melebihi had laju dan pelanggaran lampu merah, dikuatkuasakan pada 15 April lalu.

 

Antara kesalahan lain yang akan dikenakan mata demerit ialah membawa lebih muatan daripada had ditetapkan dan muatan terjatuh atau tumpah sehingga menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

 

Kesalahan lain termasuk ingkar arahan penguat kuasa seperti polis, pegawai JPJ dan warden lalu lintas; tidak memakai tali pinggang keledar; memandu dalam keadaan mabuk serta tidak memakai topi keledar.

Berita Harian X