Isnin, 20 November 2017 | 4:00pm
AB Aziz (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017 di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP

Kempen keselamatan jalan raya gagal

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akui kempen keselamatan jalan raya yang dilaksanakan di negara ini gagal mencapai matlamat untuk menurunkan kadar kemalangan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata ini berdasarkan jumlah kemalangan pada tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 960,569 kes selain peningkatan kadar kemalangan maut yang direkodkan melepasi angka 7,000 orang.

Beliau berkata, sudah tiba masanya semua pihak termasuk pemegang taruh melaksanakan amalan tadbir urus terbaik dalam sistem pengangkutan menerusi pendekatan holistik bagi mencapai sasaran pengurangan kematian dan cedera parah akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus pada 2020.

"Rancangan untuk mengurangkan kadar itu sudah ada dari 2011 hingga 2020 tetapi kalau melihat situasi terkini kadar kemalangan bukan berkurangan sebaliknya terus meningkat. Kesimpulannya, rancangan (keselamatan jalan raya) yang ada di negara ini gagal.

"Kita kena akui kita gagal, jadi dalam konteks ini marilah kita mengambil serius kegagalan ini kerana kita tidak mahu 2018 statistiknya naik sampai 8,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Shaharuddin Khalid; Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR), Datuk Rosli Isa.

Ab Aziz berkata, pihaknya bersama pemegang taruh seperti JPJ, MIROS dan JKJR akan mengadakan perbincangan lebih lanjut bagi mencari kaedah dan penyelesaian terbaik bagi isu berkaitan.

"Selain sikap pemanduan yang berhemah, kita juga akan menekankan kepada penguatkuasaan lebih tegas dan pendekatan kawalan yang lebih ketat dalam sektor pengangkutan terutama membabitkan motosikal yang menjadi penyumbang tertinggi kes kemalangan pada tahun lalu iaitu sebanyak 670,935 kes," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berusaha untuk mencontohi negara maju seperti Sweden dalam menyediakan sistem dan kempen keselamatan jalan raya yang lebih berkesan dan menyeluruh bagi mengurangkan kematian dan kemalangan jalan raya.

"Sweden misalnya, mencatatkan hanya 263 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu. Dengan jumlah penduduk seramai 9.9 juta kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara itu adalah serendah 2.65 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

"Berbanding Malaysia, kadarnya adalah 22.35 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Purata 20 kematian setiap hari atau satu kematian bagi setiap 78 minit ini amat sedih dan membimbangkan.

"Langkah yang lebih berkesan dan menyeluruh perlu diambil bagi menyamai pencapaian negara maju yang lain," katanya.

92 dibaca
Berita Harian X