Isnin, 20 November 2017 | 1:50pm
ABDUL Rahman (kiri) bersama Shariza (kanan) merasmikan Persidangan Masa Depan Kerja, Tempat Kerja dan Tenaga Kerja anjuran TalentCorp, di Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Sedia kaji sekolah aliran Inggeris

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan sekolah aliran Inggeris di negara ini dalam usaha meningkatkan daya saing graduan sebagai langkah persediaan menempuh cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata cadangan itu adalah persediaan untuk kerajaan memastikan sistem pendidikan di negara ini dapat ditransformasikan supaya pelajar boleh menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Beliau berkata, banyak negara Asia Barat seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), rakyatnya berlumba-lumba mempelajari Bahasa Inggeris.

"Di Malaysia pula, saya percaya setiap ibu bapa memang mahu anak mereka mereka berkemampuan fasih bertutur dan faham Bahasa Inggeris.

"Bahasa Inggeris adalah bahasa global. Dengan memahami bahasa itu, semua jendela ilmu pengetahuan dan peluang akan terbuka luas sekali gus dapat digunakan untuk membantu keluarga pada masa hadapan.

"Untuk merealisasikan hasrat ini bukan sahaja bergantung kepada kerajaan, malah memerlukan idea dan sokongan semua pihak berkepentingan merangkumi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ucaptama dan merasmikan Persidangan Masa Depan Kerja, Tempat Kerja dan Tenaga Kerja anjuran Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Shariza Abdul Ghani.

Abdul Rahman berkata, beliau tidak mahu hasrat menubuhkan sekolah aliran Inggeris tidak dipolitikkan sesetengah pihak sehingga menimbulkan polemik kepada masyarakat.

Beliau berkata, masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak perlu risau kerana kewujudan sekolah ini tidak akan mengganggu atau 'menggantikan' sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah vernakular, sekolah swasta mahupun sekolah antarabangsa.

"Kenapa tak boleh ada sekolah Inggeris?. Kalau tak boleh (pelaksanaan) di seluruh negara, boleh buat di negeri asal saya iaitu Sabah," katanya.

Beliau mengulas mengenai dapatan hasil tinjauan yang dijalankan Institut Yusof Ishak Singapura (ISEAS) baru-baru ini.

Dapatan itu menunjukkan lapan daripada 10 rakyat Johor mahu sekolah aliran Inggeris dikembalikan di negeri itu.

Berita Harian X