Isnin, 20 November 2017 | 9:15am

Ekspresi dan aspirasi kanak-kanak

KANAK-KANAK adalah pemimpin generasi pada masa depan. Semua golongan masyarakat mempunyai tanggungjawab memelihara hak, prihatin, menghormati kesejahteraan dan kebajikan mereka.

Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut setiap tahun hari ini, BH beri ruang kepada tiga kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang meluahkan ekspresi dan aspirasi mereka mengenai kepentingan hak sebagai generasi yang dinamik dan progresif.

Dengar suara kanak-kanak:


MARIAH Junid, 16, Sekolah Tun Fatimah.

Hak kebebasan kanak-kanak

Mariah Junid, 16

Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru

Sejak dari saat pertama mencelikkan mata, kanak-kanak di bawah 18 tahun mempunyai pelbagai hak yang sangat istimewa.

Hak-hak inilah yang menjamin sejuta hari-hari yang bahagia serta masa depan yang cerah - alangkah bagusnya sekiranya setiap insan menyedari perkara ini.

Setiap keluarga memikul tanggungjawab untuk memastikan bahawa hak-hak mereka dilindungi, tanpa memandang sebelah mata pada ketidakupayaan, agama, budaya, jantina dan seterusnya.

Dalam perspektif saya atau sebaik-baiknya perspektif orang lain juga, sesungguhnya amat bermakna bagi seseorang kanak-kanak melahirkan suara hati kerana tiada seorang pun yang patut diberi layanan secara tidak adil atas dasar apa-apa.

Mereka tidak seharusnya menerima nasib yang kurang baik sehinggakan mereka tidak dapat melakukan aktiviti-aktiviti normal yang dijalankan oleh kanak-kanak lain.

Hak asasi manusia termasuklah hak bagi kehidupan yang sempurna dan merdeka, kebebasan dari perhambaan dan penyeksaan, kebebasan menyuarakan pendapat dan banyak lagi.

Setiap orang, tidak kira pada usia, layak mendapatkan hak-hak istimewa ini tanpa diskriminasi; setiap orang juga sebenar-benarnya layak menjalani kehidupan yang bermaruah.

Tidak selogiknya kanak-kanak diberikan pendedahan kepada hiburan yang tidak mendatangkan faedah, sebaliknya mereka perlulah didedahkan kepada kepentingan hak-hak tersebut kepada mereka agar mereka bertambah berani untuk bersuara.

Ibu bapa bersifat penyayang manakah yang sanggup enggan menyekat anaknya untuk hidup bebas daripada penderaan dari segi fizikal, mental dan emosi?

Anak-anak sewajarnya membesar, belajar dan mengembangkan ilmu pengetahuan untuk mencapai potensi diri yang paling tinggi.

Sejujurnya, setiap individu perlu memahami dan mengambil tahu matlamat sebenar dunia yang penuh dengan kontroversi ini.

Adakah segalanya bertumpukan pada wang dan kuasa? Ataukah pada wabak kelaparan yang semakin galak berleluasa, pendidikan berkualiti yang wajar diterima semua orang, kesaksamaan jantina dan kedamaian? Bagaimana pula dengan fokus kita untuk menamatkan eksploitasi, perdagangan dan keganasan terhadap kanak-kanak?

Saya selalu melihat adik-adik saya tidak diambil serius, walaupun pada ketika itu kata-kata mereka boleh diterima akal yang waras dan membuka mata hati.

Ini menjadi keutamaan kita semua untuk memastikan bahawa kanak-kanak tahu dan faham bahawa pendapat dan pandangan mereka juga adalah amatlah penting, jadi mereka tidak akan mendiamkan diri mereka dalam jangka yang panjang dalam apa jua situasi.

Persoalan utamanya, patutkah orang dewasa mendengar dan mempertimbangkan apa yang disuarakan oleh anak-anak mereka? Ataukah sepatutnya mereka tidak menghiraukan mereka? Adakah hanya kerana mereka jauh lebih pendek dan lebih muda daripada kita, bermaksud kita boleh memandang remeh kepada mereka? Segala yang membawa kepada pencemaran hak kanak-kanak bukanlah masalah orang lain - itu adalah masalah kita.

Membesarkan anak-anak adalah salah satu anugerah yang terindah dalam kehidupan, namun juga menjadi cabaran kita yang paling besar. Kita haruslah menghargai mereka dan tidaklah membahayakan mereka dengan apa-apa cara, kerana siapa yang boleh menjangkakan masa depan? Mungkin merekalah yang akan mengubah fikiran dan tindakan generasi yang akan datang.


MUHAMMAD Zulkarnaen Sofian, 7, Sekolah Kebangsaan (SK), Sungai Buloh.

Pendidikan awal penting

Muhammad Zulkarnaen Sofian, 7

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buloh, Selangor

Masyarakat sekarang seharusnya memainkan peranan yang penting untuk pendidikan awal kanakkanak terutama sekali ibubapa. Ibubapa seharusnya memainkan peranan dalam pendidikan anak-anak supaya mereka mudah untuk memahami.

Pendidikan awal yang sempurna, penting untuk kanakkanak membaca dan menulis. Faktor utama mereka mudah terpengaruh dengan gejala tidak sihat seperti menipu, mencuri, bergaduh dan kaki buli.

Ini akan meninggalkan kesan yang negatif dalam membentuk perkembangan kanak-kanak dan kekurangan membentuk personaliti diri serta kurang bergaul dengan orang sekeliling. Perkara ini juga akan mendorong mereka untuk tidak dapat berfikir secara positif.

Oleh itu, perkembangan dan pendidikan awal dapat menyokong seorang kanak-kanak. Bak kata perpatah mengatakan melentur buluh biar dari rebungnya. Pendidikan sangat penting untuk membantu pendidikan awal kanak-kanak, mengajar berdikari, dapat berfikir mana yang betul dan yang salah.

Saya, berterima kasih kepada ibu bapa kerana peka pendidikan di awal usia saya.

Alhamdulillah dengan pendidikan awal ini, saya mudah mengingati, pandai membaca, menulis, melukis dan yang penting ramai kawan di sekolah.


AHMAD Iszuddin Ahmad Izham, 11, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara.

Jaga alam sekitar dengan baik

Ahmad Iszuddin Ahmad Izham, 11

Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara, Kuala Lumpur

Pada bulan Februari 2017, Cikgu Sains saya telah menunjukkan satu video mengenai penyu laut yang terbunuh akibat terperangkap dalam plastik. Mulut penyu itu tertutup dengan plastik dan penyu itu lemas. Saya sangat sedih dan apabila menonton video lain mengenai manusia membuang sampah, saya merasa sangat marah.

Jadi saya cuba berusaha untuk membersihkan kawasan rumah, bilik dan kelas saya. Apabila ada kawan saya yang membuang sampah, saya bagi tau dia untuk membuang ke dalam tong yang betul. Di rumah juga saya pastikan bilik saya kemas dan saya bantu mak buang sampah ke dalam tong setiap minggu. Jadi rumah saya bersih dan kemas.

Di sekolah saya, kelas saya memenangi piala emas sebagai kelas yang paling kemas dan bersih! Saya sangat gembira dan bangga. Jadi, untuk menjaga alam sekitar bukanlah susah. Senang saja. Jangan buang sampah dan pastikan sampah kita dibuang dalam tong yang betul. Jika kita semua tidak membuang sampah merata-rata, alam kita pasti akan menjadi sangat segar dan bersih. Terima kasih.

29 dibaca
Berita Harian X