Ahad, 19 November 2017 | 2:18pm
DATUK Seri Johari Abdul Ghani bersama Moderator, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kanan), ketika sesi Ekonomi, Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Sairien Nafis

Sedia kad laporan projek kerajaan

KUALA LUMPUR : Syarikat Bumiputera yang mendapat projek kerajaan perlu menyediakan kad laporan berhubung pembabitan mereka dalam membantu syarikat Bumiputera yang lain.

Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu supaya semua syarikat Bumiputera merasai sama hasil diperoleh mereka melalui projek kerajaan.

"Kad laporan ini sudah dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana mereka melantik syarikat Bumiputera untuk terbabit sama dalam projek kerajaan, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja berkaitan ekonomi pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Konvensyen itu dianjurkan Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO.

Johari berkata, kerajaan mahu melihat syarikat Bumiputera yang tidak dianugerahkan projek masih menikmati sebahagian daripada projek berkenaan.

"Bukannya kita suruh 100 peratus projek itu dikongsikan, paling tidaknya ada sebahagian daripada kerja untuk menyiapkan kerja projek itu diagihkan kepada kontraktor Bumiputera.

"Jika tidak syarikat berkenaan tidak menjadi pemangkin untuk pembangunan ekonomi," katanya.

Sementara itu, Johari berkata peruntukan besar kerajaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pembentangan Bajet 2018 adalah salah satu usaha memperkasakan usahawan Bumiputera.

Katanya, lebih separuh usahawan di negara ini adalah Bumiputera.

"Langkah komprehensif itu sejajar dengan kemampuan industri berkenaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi penyediaan tujuh juta peluang pekerjaan.

"PKS memberi sumbangan yang besar dalam ekonomi negara. Sebanyak 97 peratus daripada pengoperasian dalam negara adalah PKS manakala tiga peratus lagi terdiri daripada syarikat besar.

"Kenapa kerajaan tumpu perhatian dalam PKS ini? Ini kerana industri itu mewujudkan aktiviti ekonomi yang menyediakan kira-kira 60 pekerjaan swasta dan memanfaatkan tujuh juta penduduk negara, "katanya.

Menjawab soalan peserta mengenai subsidi untuk motosikal berkuasa rendah, katanya kerajaan bersedia menimbangkan pemberian subsidi untuk kumpulan berkenaan.

Berita Harian X