Ahad, 19 November 2017 | 1:42am
Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa makan malam dan bersembang santai bersama-sama sembilan individu pelbagai latar belakang berasal dari negeri ini. - Foto Twitter Datuk Seri Najib Razak.

Sembang santai dengan 'urang' Sabah

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak yang dalam lawatan rasmi ke Sabah semalam, meluangkan masa makan malam dan bersembang santai bersama-sama sembilan individu pelbagai latar belakang berasal dari negeri ini.

Perdana Menteri menerusi laman Twitter beliau, berkata antara yang hadir ialah guru, pensyarah, usahawan, peguam dan jurutera manakala perkara dibincangkan berkenaan peruntukan Bajet 2018 untuk Sabah.

Katanya, beliau menerima maklum balas yang baik berkenaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang bakal mengembangkan lagi ekonomi Sabah dan memberi kesalinghubungan lebih baik buat penduduk negeri ini.

"Mereka juga gembira dengan peruntukan besar untuk pembangunan luar bandar yang tentunya akan memberi manfaat buat penduduk Sabah secara keseluruhannya. Ada juga yang mencadangkan lebih banyak Pusat Transformasi Bandar dan Pusat Transformasi Luar Bandar diwujudkan di Sabah.

"Puan Liana Hasim yang juga seorang ibu juga sangat mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk tempoh cuti bersalin selama tiga bulan untuk sektor swasta. Menurut beliau, langkah ini menggalakkan 'work life balance' sekali gus mengukuhkan institusi keluarga.

"Selain itu, Dr Rosalam Sarbatly dari Universiti Malaysia Sabah mencadangkan Sabah memberi tumpuan kepada sektor makanan sihat dan merancakkan lagi sektor pertanian serta keusahawanan. Insya-Allah ini akan dipertimbangkan," katanya.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Perdana Menteri berkata, beliau juga menggalakkan mereka untuk mengambil peluang turut serta dalam ekonomi digital dan menjadi sebahagian daripada rangkaian bekalan global.

Beliau turut berkongsi kisah kejayaan usahawan durian yang membuat keuntungan berlipat ganda daripada RM3 juta kepada RM30 juta melalui eksport ke negara luar terutama China.

"Kami juga berbincang peranan Kerajaan Persekutuan memastikan Sabah maju setanding dengan negeri lain di Semenanjung.

"Misalnya dalam Bajet 2018, pelbagai inisiatif diumumkan antaranya peruntukan RM1 bilion untuk naik taraf sekolah daif di Sabah, RM1 bilion lagi untuk infrastruktur komunikasi di pedalaman Sabah dan juga Sarawak.

"Hampir RM500 juta untuk projek jalan luar bandar Sabah dan Sarawak, RM620 juta untuk bekalan elektrik dan RM50 juta untuk pemetaan dan pengukuran tanah adat di Sabah dan Sarawak," katanya.

Walaupun perbincangan banyak berkisar berkenaan bajet, Najib berkata, mereka juga sempat berbual berkenaan perlawanan Manchester United dan Newcastle United serta pendekatan yang diambil beliau dalam menangani jadual ketat sebagai Perdana Menteri.

"Kepada rakan-rakan yang hadir tadi En Saiful Imran, En Farish bin Aziz, Dr Jualang Azlan, Dr Rosalam Sarbatly, Puan Liana Hasim, Puan Athirah Sairin, En Welson Gusop, Cik Karmen Luna dan En George Manggong, saya harap kita akan kekal berhubung dan berjumpa lagi di masa hadapan!," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X