Khamis, 16 November 2017 | 4:50pm
NAIB Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Izhari Ariffin

Pantau NGO tawar darjah kebesaran

KUALA LUMPUR : Pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan terhadap kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengaut keuntungan dengan menawarkan ahlinya darjah kebesaran palsu.

Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata orang ramai terpengaruh dengan tawaran berkenaan kerana sindiket berselindung di sebalik NGO berkaitan keselamatan.

"Kegiatan sindiket berkenaan dan keghairahan orang ramai memiliki darjah kebesaran secara haram sudah pasti akan melunturkan rasa hormat terhadap kemuliaan pingat dan darjah kebesaran oleh mereka yang berwibawa dan sudah berjasa kepada masyarakat dan negara.

"Kes terbaharu ini menunjukkan dua suspek menggunakan NGO untuk mempengaruhi orang ramai dengan yuran keahlian antara  RM20,000 dan RM30,00 sebelum ditawar membeli darjah kebesaran negeri.

"Dua suspek itu turut menggunakan gelaran Datuk secara haram menunjukkan betapa seriusnya masalah berkenaan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan polis menahan dua lelaki tempatan berusia 40 dan 57 tahun dipercayai ahli persatuan dalam sindiket penjualan dan pemberian darjah kebesaran palsu di Johor dengan nilai antara RM180,000 hingga RM280,000.

Kedua-dua suspek bergiat aktif dalam sebuah NGO tidak berdaftar di Batu Pahat sejak awal tahun ini, ditahan pada 30 Oktober lalu.

Sindiket juga menggunakan modus operandi iaitu menghasut orang supaya menjadi ahli pertubuhannya serta menyertai Persatuan Komuniti Kepolisian bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan masyarakat.

Menurut kenyataan itu, Lam Thye turut memuji kejayaan polis Johor membongkar kegiatan sindiket berkenaan kerana ia mampu memberi peringatan tegas kepada orang ramai bahawa mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang jika membeli dan menggunakan darjah kebesaran palsu.

"Keghairahan sesetengah pihak untuk mendapatkan darjah kebesaran sebenarnya amat membimbangkan kerana mereka sanggup membayar ratusan ribu bagi mendapatkannya," kata kenyataan itu.

Berita Harian X