Sabtu, 11 November 2017 | 11:18am

MQA terima pensijilan sistem pengurusan antirasuah


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bersama timbalannya Datuk Dr Mary Yap Kain Ching bersama peserta ketika Larian MQA 2017 di Bangunan Mercu MQA, Cyberjaya. - Foto oleh Ahmad Irham Mohd Noor

CYBERJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menerima pensijilan Anti Bribery Management System (ABMS) daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) atas ketelusan agensi itu menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ia membuktikan agensi di bawah kementeriannya sentiasa mengamalkan integriti dalam setiap program bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya hasil usaha kerajaan.

"Ini membuktikan agensi kita serius, telus dan ikhlas dalam mengadakan program kepada masyarakat dan warga kementerian.

"Kementerian sentiasa memastikan agensi di bawahnya mengamalkan integriti dalam apa juga program atau perkhidmatan yang ditetapkan," katanya selepas merasmikan acara larian MQA sempena ulang tahun ke-10 penubuhan agensi itu di sini, hari ini.

Acara itu disertai 2,000 peserta dalam tiga kategori iaitu 5, 10 dan 15 kilometer yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM20,000.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif, Education Malaysia Global Service (EMGS), Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa.

Idris berkata, kementeriannya juga berjaya menyekat dan menolak permohonan pelajar asing yang terbabit jenayah untuk belajar di universiti di negara ini.

"Melalui EGMS dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, kita dapat mengesan pelajar yang terbabit dengan pelbagai isu jenayah. INTERPOL juga memberi kerjasama baik bagi memastikan pelajar asing yang mahu belajar di negara ini bebas kesalahan jenayah," katanya.

Berita Harian X