Sabtu, 11 November 2017 | 11:05am

Banjir di P Pinang semakin pulih

GEORGETOWN: Jumlah mangsa banjir di Pulau Pinang yang masih ditempatkan di enam pusat pemindahan terus berkurangan berikutan cuaca yang semakin baik dan cerah sejak semalam di negeri ini.

Setakat jam 8 pagi ini, seramai 1,040 daripada 243 keluarga masih berada di pusat pemindahan berbanding 1,313 daripada 304 keluarga malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata, sebanyak lima pusat pemindahan masih dibuka di Seberang Perai Utara (SPU) manakala satu di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

"Seramai 820 mangsa banjir daripada 178 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di SPU manakala 220 orang membabitkan 65 keluarga di pusat pemindahan Dewan Banjir Guar Jering di SPT, " katanya di sini.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lalu yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa. - BERNAMA

KAKITANGAN Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut serta membantu melakukan kerja pembersihan akibat banjir di Jalan P Ramlee, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X