Jumaat, 10 November 2017 | 4:11pm
TIMBALAN Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk T Narenasagaran beramah mesra dengan anggota pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2017 di PGA Briged Utara Ulu Kinta, Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran

PDRM perlu isi 6,000 perjawatan tahun depan

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka merekrut lebih daripada 6,000 pegawai dan anggota pangkat rendah menyertai pasukan itu mulai tahun hadapan, berbanding hanya seramai 1,700 anggota tahun ini.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk T Narenasagaran, berkata Kerajaan Persekutuan membenarkan pasukan itu mengambil 6,000 perjawatan bagi mengisi keperluan mengikut nisbah jumlah penduduk yang semakin meningkat.

Katanya, lebih daripada 600 perjawatan daripada jumlah itu bakal diisi pegawai polis, manakala selebihnya diisi anggota pangkat rendah termasuk konstabel sokongan, kadet dan konstabel Orang Asli.

"Ini mengambil kira bagi menggantikan pegawai dan anggota pencen serta usaha kerajaan bagi memantapkan kebolehan PDRM untuk memberi khidmat kepada masyarakat.

"Sekarang ini kita sudah giat menjalankan pengiklanan untuk pengambilan serta menjalankan latihan fazikal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2017 di PGA Briged Utara Ulu Kinta di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 658 pegawai dan anggota PGA tamat menjalani latihan asas di pusat latihan berkenaan.

Narenasagaran berkata, bagi mencapai pembangunan piawaian tahap dunia, pertambahan penduduk di negara memerlukan pembabitan dan bilangan anggota polis yang mencukupi.

"Bagi menuju ke arah itu, kita perlu tengok nisbah seorang pegawai polis dan (dengan) berapa orang awam.

"Jadi, kerajaan mengambil inisiatif untuk meningkatkan jumlah pengambilan mulai tahun hadapan berbanding hanya pengambilan seramai 1,700 anggota polis tahun ini," katanya.

Beliau berkata, PDRM mempunyai 13 pusat latihan lain termasuk lapan daripadanya pusat latihan asas seperti Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, Sarawak; PULAPOL Air Hitam, Negeri Sembilan, PULAPOL Segamat, Johor dan PULAPOL Kuala Lumpur.

Berita Harian X