Jumaat, 10 November 2017 | 3:16pm

Rekrut 6,000 anggota PDRM tahun depan

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka merekrut lebih 6,000 pegawai dan anggota pangkat rendah menyertai pasukan itu mulai tahun depan.

Tahun ini, PDRM merekrut hanya seramai 1,700 anggota.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk T Narenasagaran, berkata kerajaan Persekutuan membenarkan mengambil 6,000 anggota bagi mengisi keperluan nisbah jumlah penduduk yang semakin meningkat

Katanya, lebih 600 perjawatan bakal diisi pegawai polis manakala selebihnya anggota pangkat rendah termasuk konstabel sokongan, kadet dan konstabel Orang Asli.

"Ia bertujuan menggantikan pegawai dan anggota pencen serta usaha kerajaan bagi memantapkan khidmat PDRM untuk masyarakat.

"Sekarang kita giat mengiklankan pengambilan itu dan menjalankan latihan fazikal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2017 di PGA Briged Utara Ulu Kinta di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 658 pegawai dan anggota PGA tamat menjalani latihan asas di pusat latihan berkenaan.

Narenasagaran berkata, bagi mencapai pembangunan piawaian tahap dunia, pertambahan penduduk di negara memerlukan pembabitan dan bilangan anggota polis yang mencukupi.

"Bagi menuju ke arah itu, kita perlu tengok nisbah seorang pegawai polis dan (dengan) berapa orang awam.

"Jadi, kerajaan mengambil inisiatif meningkatkan jumlah pengambilan mulai tahun depan berbanding seramai 1,700 anggota polis tahun ini," katanya.

Beliau berkata, PDRM mempunyai 13 pusat latihan lain termasuk lapan daripadanya pusat latihan asas seperti Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, Sarawak; PULAPOL Air Hitam, Negeri Sembilan, PULAPOL Segamat, Johor dan PULAPOL Kuala Lumpur.

TIMBALAN Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, Datuk Narenasagaran Thangaveloo (tiga kiri) beramah mesra dengan peserta kursus Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2017 di Briged Utara PGA Ulu Kinta Ipoh. - Foto L. Manimaran
Berita Harian X