Khamis, 9 November 2017 | 3:28pm
KETUA Sekretariat SL1M , Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Hjh Norashikin Datuk Hj Ismail, (tengah) bergambar bersama sebahagian Artis, yang akan turut menjayakan SL1M, pada sidang media di Royale Chulan. - Foto Mahzir Mat Isa
KETUA Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Norashikin Datuk Ismail pada sidang media SL1M di Royale Chulan. - Foto Mahzir Mat Isa

2,000 jawatan kosong menanti di SL1M

KUALA LUMPUR: Hampir 2,000 jawatan kosong menanti pencari kerja pada Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang akan diadakan di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabu (ILPKK) , Sepanggar, Sabah, pada 18 November ini.

Program SL1M kali ketujuh ini dan terakhir untuk tahun ini akan disertai lebih 30 syarikat terkemuka.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata SL1M masih mengekalkan konsep yang sama iaitu menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang dan peringkat kelulusan.

"Sesi temu duga dijalankan secara terus oleh syarikat yang terbabit dan SL1M menjangkakan lebih 10,000 pengunjung akan hadir membanjiri ILPKK kali ini.

"Antara syarikat yang akan mengambil bahagian termasuk PETRONAS, Telekom Malaysia, UEM, Maybank Legoland, Bousted Holding Berhad, Tabung Haji Plantations Bhd dan banyak lagi.

"Saya menasihatkan pencari kerja di Sabah supaya merebut peluang terbaik ini untuk mendapat pekerjaan," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Norashikin berkata, SL1M diadakan di Sabah buat kali kedua tahun ini memandangkan negeri itu besar dan sambutan baik diterima sebelum ini.

Katanya, bagi kemudahan pengunjung, pendaftaran pekerjaan secara dalam talian juga disediakan dan mereka boleh memasukkan maklumat diperlukan.

"Sekiranya ada peluang temu duga atau tawaran pekerjaan, SL1M akan menghubungi pemohon terbabit. Saya mengingatkan pencari kerja supaya berfikir di luar kotak dan keluar daripada kepompong keselesaan serta tidak memilih kerja," katanya.

Program SL1M yang akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan itu bukan saja menyediakan peluang pekerjaan tetapi turut menampilkan artis popular seperti Faizal Tahir, Akim &The Majistret, Kumpulan Zero, Estranged, Sakura Band, Aunty Patrin dab Farish Aziz.

Artis popular ini bukan saja menghiburkan pengunjung tetapi pada masa sama turut berkongsi pengalaman dan memberikan motivasi bagi menaikkan semangat serta memberi inspirasi kepada graduan mencari kerja.

Turut diadakan klinik resume dan ceramah kerjaya serta gerai jualan. Pengunjung berpeluang memenangi cabutan bertuah seperti motosikal, telefon bimbit, peti ais, mesin basuh dan pelbagai lagi.

Berita Harian X