Khamis, 9 November 2017 | 1:03pm

RM500 untuk mangsa banjir P Pinang

GEORGETOWN: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan bantuan khas RM500 kepada mangsa bencana banjir.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata bantuan khas itu membabitkan peruntukan sebanyak RM50 juta akan disalurkan kepada sekurang-kurangnya 100,000 isi rumah yang terjejas akibat banjir.

"Bantuan secara 'one-off' itu akan diberikan kepada mangsa banjir, tanpa dicampur dengan wang derma yang disumbangkan oleh orang awam, badan berkanun atau pihak lain.

"Jika ada sumbangan yang ingin disampaikan lagi, boleh lah dialamatkan kepada Pegawai Kewangan negeri atau Bendahari," katanya semasa menyampaikan ucapan khas di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga akan mengecualikan surcaj konvergensi bagi satu kitaran, kepada semua pengguna selama dua bulan.

"Selain itu, PBAPP turut bersetuju untuk memberikan diskaun bil sebanyak 50 peratus kepada pengguna domestik dan 25 peratus kepada pengguna komersial selama dua bulan," katanya.

Kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) juga akan memberikan diskaun cukai pintu sebanyak 10 peratus kepada semua jenis hartanah di Pulau Pinang.

Potongan cukai pintu itu akan membantu rakyat Pulau Pinang berjimat sebanyak RM40 juta.

KETUA Menteri, Lim Guan Eng pada sidang media di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X