Rabu, 8 November 2017 | 2:42pm
PROF Dr Mohamad Roji Samidi menunjukkan produk minyak kelapa dara berkualiti tinggi yang menerima Anugerah Akademik Negara ke-11 bagi kategori Inovasi dan Pengkomersilan Produk ketika sidang media di Institut Pembangunan Bioproduk, UTM Skudai. - Foto Hairul Anuar Rahim

Minyak kelapa dara berpotensi untuk rawat Alzheimer

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membangunkan produk minyak kelapa dara berasaskan Teknologi Proses Basah Bersepadu (TPBB), Nutrell yang berpotensi merawat penyakit Alzheimer, sekali gus mampu meningkatkan nilai tambah hasil pertanian. 

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan Bioproduk UTM, Prof Dr Mohamad Roji Sarmidi, berkata penemuan proses dan teknologi baharu itu berfungsi mengeluarkan minyak kelapa dara yang berkualiti tinggi, selain diaplikasikan sebagai bahan asas dalam membangunkan produk hiliran termasuk makanan tambahan kesihatan, produk penjagaan diri dan kosmetik.

Katanya, keunikan penyelidikan TPBB yang mengambil masa lima tahun itu mempunyai kebolehupayaan menghasilkan minyak 85 peratus lebih tinggi daripada kaedah sedia ada, selain pada masa sama proses itu dilihat dapat mengekalkan sifat fizikal, kimia dan biologi minyak kelapa dengan kualiti yang tinggi.

"Kelapa ini dipilih sebagai sumber alami kerana ia amat sinonim dengan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sifat anti oksida semula jadi, selain antara fungsi dan impaknya kepada kesihatan manusia adalah kebolehan untuk merangsang serta mempertingkatkan metabolisme.

"Malah, manfaat daripada minyak kelapa dara mentah itu mampu menyokong fungsi tiroid, selain membantu mengekalkan dan mengawal berat badan ideal," katanya pada sidang media ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamad Roji yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Nutrisi Malaysia berkata, penyelidikan dan pembangunan bioproduk yang akan menyumbang khususnya keperluan nutrisi bagi mencapai kesihatan optimum melayakkannya mendapat pengiktirafan Anugerah Akademik Negara bagi Kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk.

Katanya, minyak kelapa dara yang dihasilkan mengandungi antara 48 hingga 52 peratus asid laurik yang bersifat antibakteria dan antifungus, selain membantu merawat penyakit tiroid termasuk hipertiroidisme (penghidap masalah kelenjar tirod aktif) atau masalah gangguan kelenjar tiroid tidak aktif, hipotirodisme.

"Inisiatif membabitkan 10 ahli di Institut Pembangunan Bioproduk UTM dan kerjasama strategik anak syarikat UTM, Phyto Biznet Sdn Bhd, berjaya bukan sahaja dalam aspek memasarkan produk, malah pembangunan modal insan serta mewujudkan peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan yang menyokong ekosistem pengkomersialan produk dan perkhidmatan berasaskan penyelidikan. 

"Sehingga kini, kapasiti pengeluaran adalah empat hingga lima tan minyak kelapa dara mentah sebulan dengan jualan mencecah sehingga dua tan sebulan. Jumlah jualan ini dijangka meningkat kepada empat tan sebulan tahun depan berikutan permintaan pengguna terhadap produk semula jadi.

"Selain pasaran tempatan, sejumlah 400 liter minyak kelapa dara mentah kini dieksport ke Jerman, selain merancang memasarkannya di United Kingdom, Korea dan China pada tahun hadapan berikutan corak permintaan terhadap bahan asas kosmetik dan penggunaan produk berasaskan organik," katanya.

INFO

# Manfaat minyak kelapa dara

* Mengawal berat badan, mengawal kolesterol, membantu sistem pencernaan, membantu pertumbuhan rambut sihat dan rawatan kulit

# Terdapat lima cawangan yang menjual produk minyak kelapa dara

* Taman Universiti, Johor

* Bandar Baru Bangi, Selangor

* Institut Pembangunan Bioproduk UTM, Johor

* Institut Pembangunan Bioproduk UTM, Kuala Lumpur

* UTM Residence, Kuala Lumpur

Berita Harian X