Rabu, 8 November 2017 | 11:59am
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tengah) bergambar bersama dengan sukarelawan misi Pasca Banjir ke Pulau Pinang di Perkarangan Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid (kanan) melepaskan sukarelawan misi Pasca Banjir ke Pulau Pinang di Perkarangan Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Kedah bantu mangsa banjir Pulau Pinang

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menghantar kira-kira 200 skuad Sukarelawan Muafakat Kedah bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata skuad terbabit akan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid yang aktif dalam bidang kesukarelawan di negeri ini.

Katanya, skuad terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat yang ikhlas melakukan kerja sukarelawan hingga ada yang sanggup mengambil cuti sehari untuk menyertai program ini.

"Mereka akan melakukan kerja pembersihan kawasan yang dikenal pasti memerlukan bantuan serta semua peralatan dan bantuan makanan juga sudah disediakan kerajaan negeri dan sumbangan orang awam.

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid (kanan) melepaskan sukarelawan misi Pasca Banjir ke Pulau Pinang di Perkarangan Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid

"Kita lihat bahawa apa berlaku membabitkan musibah rakyat di Pulai Pinang dan kita percaya ini satu bencana tanpa mengira ideologi. Biarpun Kedah turut menghadapi bencana yang sama, tetapi sebagai prinsip kejiranan, maka kita mahu bantu Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan konvoi Skuad Sukarelawan Muafakat Kedah Sayangkan Pulau Pinang di perkarangan Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, skuad ini membawa 10 unit jentera bomba sukarela, lengkap dengan peralatan kebombaan dan lain-lain kelengkapan diperlukan termasuk ubat-ubatan bukan sahaja untuk misi pasca banjir, serta keperluan menyelamat.

Mereka akan membantu mangsa banjir dalam kerja pembersihan dan gotong-royong membabitkan premis kediaman di lokasi terjejas di Pulau Pinang, khususnya di sekitar Seberang Perai, Batu Kawan dan Kepala Batas.

Sementara itu, Mahadzir yang juga Pengarah Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) Daerah Sik berkata, misi bantuan akan melakukan proses pembersihan kawasan kediaman mangsa banjir.

"Pembersihan juga akan membabitkan surau dan sekolah yang terjejas malah kita akan mengagihkan bantuan seperti bekalan makanan kepada mangsa banjir.

"Selain sukarelawan BS1M misi pasca banjir itu akan turut membabitkan anggota Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) Sik serta Majlis Daerah Sik, dengan dikelolakan Pusat Khidmat ADUN Jeneri," katanya.

Berita Harian X