Selasa, 7 November 2017 | 10:19am
KANAK-KANAK meluang masa bermain di pusat penempatan banjir di Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Dik. - Foto Sharul Hafiz Zam

982 mangsa banjir di Kedah

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah, setakat 8 pagi ini menurun kepada 982 orang berbanding 2,337 orang seperti yang direkodkan malam tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, jumlah itu dijangka terus berkurangan berikutan keadaan cuaca yang semakin baik dan lebih ramai mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Setakat 8 pagi ini, kesemua mangsa daripada 271 keluarga ditempatkan di 15 pusat pemindahan di Kuala Muda, Yan, Kulim, Baling, Bandar Baharu dan Pendang.

Di Kuala Muda, sembilan pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Dewan Kampung Bukit Belah Batu Dua yang menempatkan sembilan orang, Dewan Taman Bedong Jaya (15) dan surau Taman Malinja (15).

Selain itu, surau Kampung Jawa (10), Dewan Kampung Bujang (86), Dewan Kampung Sungai Pial (174), surau Kampung Jilid 4/5 (61), Dewan Taman Setia Budi (61) dan surau Kampung Lebai Ali dengan sembilan mangsa.

Di Kulim pula dua pusat pemindahan dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Pulas (121) dan surau Teluk Bina seramai 42 mangsa.

Sementara itu, sebuah pusat pemindahan dibuka masing-masing di Yan di surau Kampung Kepala Bukit yang menempatkan 79 mangsa, di Baling di Masjid Kuala Bakong (114), di Pendang di Dewan Seminar seramai 156 orang dan SK Selama di Bandar Baharu dengan 30 mangsa.

Sebanyak 29 pusat pemindahan ditutup berbanding 22 yang direkodkan malam tadi selepas keadaan banjir semakin surut di beberapa kawasan di daerah terbabit.- Bernama

Berita Harian X