Isnin, 6 November 2017 | 3:59pm
DATUK Sulaiman Abdul Razak.- Foto Faiz Anuar

DUN Selangor tolak 5 usul ADUN BN

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor melahirkan kekecewaan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) menolak lima usul untuk dibahaskan yang dikemukakan mereka.

ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak, berkata Kerajaan Negeri sepatutnya bersikap profesional serta terbuka selaras dengan prinsip demokrasi yang sering dilaungkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Usul yang dikemukakan oleh saya sendiri meminta DUN membahaskan usul memartabatkan Mahkamah Syariah negeri membabitkan aspek infrastruktur dan tenaga manusia.

"ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias membawa usul menggesa kerajaan negeri menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ADUN Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus membabitkan isu Yayasan Selangor.

"ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif pula mahu membawa usul mengenai isu pesta arak Oktoberfest dan ADUN Jeram, Datuk Amiruddin Setro usul membatalkan pemegang yang menyalahgunakan lesen pusat hiburan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi DUN Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shamsuddin berkata, semua usul yang dicadangkan itu adalah membabitkan kepentingan rakyat serta perlu dibahaskan dalam DUN.

"Ada beberapa isu yang perlu dibahaskan. Sepatutnya Speaker DUN perlu mempertimbangkan usul ini," katanya.

Berita Harian X