Isnin, 6 November 2017 | 8:48am
AZRI Ismail dibantu anaknya, Zairil Azwan mencuci rumah mereka yang dimasuki air akibat hujan lebat di Kampung Teroi Bukit. - Foto Amran Hamid

Kedah catat pertambahan mangsa banjir

ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah meningkat dengan jumlah ditempatkan di pusat pemindahan kini 3,402 orang membabitkan 938 keluarga.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan berkata, rekod sehingga jam 8 pagi ini menunjukkan 40 pusat pemindahan masih beroperasi dengan daerah Kuala Muda dan Kulim paling teruk dilanda banjir.

"Bagi daerah Kuala Muda, sebanyak 19 pusat pemindahan dibuka menempatkan 1,250 mangsa membabitkan 363 keluarga, manakala di Kulim 15 pusat pemindahan dengan 1,762 mangsa dari 456 keluarga.

"Di Yan, empat pusat pemindahan beroperasi menempatkan 251 mangsa dari 70 keluarga, Baling dengan satu pusat pemindahan bagi 114 mangsa daripada enam keluarga dan Bandar Baharu dengan 25 mangsa daripada enam keluarga di satu-satunya pusat pemindahan beroperasi," katanya.

Bagi daerah Kulim, katanya, mukim Sungai Seluang paling teruk terjejas dengan 563 mangsa membabitkan 154 keluarga.

Semua mangsa dari kawasan itu ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Dik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual meninjau keadaan banjir yang melanda Pulau Pinang dan Kedah hari ini.

Berita Harian X