Ahad, 5 November 2017 | 2:22pm
KEADAAN banjir di sekitar Taman Angsana. - Foto Azahar Hashim

Lebih 1,000 mangsa banjir di Kedah

ALOR SETAR: Lebih 1,000 penduduk di tiga daerah di negeri ini terpaksa 'menetap' di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak malam tadi apabila kediaman masing-masing dinaiki air akibat banjir.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Kedah, Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin, berkata tiga daerah yang terjejas akibat banjir ialah Kuala Muda, Yan dan Kulim.

Beliau berkata, secara keseluruhannya seramai 1,025 mangsa banjir membabitkan 316 keluarga terpaksa bermalam di 24 PPS, sejak malam tadi.

Katanya, bagi daerah Kuala Muda sahaja, sebanyak 12 PPS dibuka iaitu Surau Kampung Bongkok, Dewan Kampung Tengah Padang Temusu, Dewan Steang Wam Kowang, Surau Kampung Padang Tok Sora, Dewan Kampung Bukit Belah Batu Dua; Dewan Sungai Pasir; Dewan Kampung Lebai Ali; Dewan Taman Bedong Jaya; Surau Taman Malinja, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gedong, Dewan Kampung Segantang Garam dan Kampung Kilang Makau.

"Di daerah Kuala Muda, seramai 349 mangsa banjir ditempatkan di 12 PPS. Di Yan pula sebanyak empat PPS dibuka iaitu di Tadika KEMAS Kampung Perigi; Surau Kampung Teroi Bukit, Surau Kampung Lubok Boi dan Surau Kampung Kepala Bukit yang menempatkan 158 mangsa," katanya dalam kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Bagi daerah Kulim pula, sebanyak lapan PPS dibuka iaitu Dewan Masjid Sungai Seluang, Dewan Taman Saga, SK Taman Selasih, Dewan Al Muqtadin, Surau Al-Haq, Surau Taman Kancil, Kampung Naga Lilit dan Dewan Masjid Sungai Limau yang menempatkan 518 mangsa.

Berita Harian X