Sabtu, 4 November 2017 | 5:37pm
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin mendengar taklimat mengenai kajian Cambridge English 2017 bersama Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Antarabangsa Cambridge English, Dr Hanan Khalifa di London.
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin mendengar taklimat mengenai kajian Cambridge English 2017 bersama Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Antarabangsa Cambridge English, Dr Hanan Khalifa di London.

Penguasaan BI di sekolah semakin memberangsangkan

LONDON: Kajian Cambridge English (CE) terhadap tahap penguasaan Bahasa Inggeris 2017 di sekolah Malaysia menunjukkan peningkatan memberangsangkan sekali gus menepati piawaian ditetapkan Common European Framework Reference (CEFR).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, kajian dilakukan CE itu turut mendapati jurang penguasaan BI antara bandar dan luar bandar juga semakin mengecil.

"Dalam laporan terbaharu itu, kita dapati beberapa perkara menarik yang mana tahun ini pelajar Tahun Enam menunjukkan pencapaian penguasaan BI agak dramatik yang mana lebih 40 peratus mencapai tahap B1 dan B2 (tahap penguasaan BI yang memberangsangkan).

"Ini peningkatan menarik berbanding kajian pada 2013, malah kajian tahun ini juga melepasi piawaian ditetapkan CEFR iaitu tahap A2 (tahap penguasaan asas).

"Begitu juga bagi kajian peringkat Tingkatan Tiga, Lima dan Enam turut menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 2013," katanya kepada pemberita Malaysia selepas sesi taklimat mengenai kajian CE 2017 bersama Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Antarabangsa Cambridge English, Dr Hanan Khalifa di sini, hari ini.

Kajian CE 2017 membabitkan 20,315 pelajar dan lebih 1,000 guru yang dilakukan secara komprehensif membabitkan bidang kokurikulum, pentaksiran, pengajaran dan pembelajaran serta latihan guru.

Beliau berkata, peningkatan penguasaan BI dalam kalangan pelajar itu memberikan keyakinan bahawa pendidikan Malaysia berada di landasan tepat, sejajar pelaksanaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Katanya, bagi guru pula, kajian CE itu mendapati lebih 50 peratus mencapai tahap C1, iaitu tahap penguasaan BI sangat tinggi dan ia juga satu peningkatan yang memberangsangkan berbanding 2013.

"Dengan usaha berterusan yang dijalankan, kita percaya boleh meningkatkan lagi tahap kompetensi guru yang mana sasaran kita ialah 100 peratus guru mencapai tahap C1 menjelang 2025," katanya.

Amin berkata, pada masa sama CE turut mengemukakan beberapa cadangan bagi penambahbaikan penguasaan BI, termasuk penambahan penggunaan sumber digital bagi P&P.

"Mereka mendapati daripada kajian ini, sumber dan bahan digital kurang digunakan oleh guru, jadi cadangan CE ini selari dengan pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini supaya 2,000 bilik darjah atau 1,000 sekolah dilengkapi dengan pembelajaran abad ke-21," katanya.

Berita Harian X