Sabtu, 4 November 2017 | 2:59pm
DATUK Seri Ismail Abd Muttalib (tiga dari kiri) dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail (tengah) beramah mesra dengan peserta pada Majlis Penutup Program Latihan Kemahiran B40 Kursus Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak PERMATA, di Kuala Nerus, hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Patuh prosedur, elak dera kanak-kanak di Taska

KUALA NERUS: Mengambil pengasuh tidak terlatih, ada masalah kesihatan, memikirkan keuntungan dan mengambil ramai kanak-kanak, antara penyumbang kes pengabaian serta penderaan kanak-kanak di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata walaupun kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak di Taska tidak serius, namun kerajaan mahu memastikan kes di tahap sifar.

Justeru, beliau mengingatkan pemilik Taska mematuhi garis panduan ditetapkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) untuk mengekang kes itu di Taska.

Beliau berkata, sebelum mengambil pekerja, pengusaha Taska perlu memastikan individu sihat mental dan fizikal, selain berpendidikan, penyabar, kental spiritual serta emosi.

"Pelbagai kursus dan garis panduan dirangka kementerian dalam memastikan semua Taska, berada pada tahap memuaskan," katanya selepas Majlis Penutup Program Latihan Kemahiran B40 Kursus Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak PERMATA, di sini, hari ini.

Katanya, pengusaha juga tidak boleh memikirkan keuntungan sahaja, sebaliknya memastikan jumlah kanak-kanak memadai dengan kekuatan kakitangan.

"Memang ada kes Taska tidak berdaftar mengambil kanak-kanak dalam kuantiti ramai dan JKM sentiasa melaksanakan penguatkuasaan berkaitannya.

"Justeru, semua Taska yang tidak berdaftar segera mendaftar bagi membolehkan mengikuti kursus dan latihan dianjurkan kementerian untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

"Mereka perlu diberi pendedahan lebih menyeluruh mengenai psikologi kanak-kanak, kuota atau nisbah yang sebaiknya supaya pengasuh menjaga bayi atau kanak-kanak dalam keadaan lebih selesa," katanya.

Kerajaan juga menggalakkan suri rumah melakukan perkhidmatan mengasuh anak di rumah sekali gus dapat menambah pendapatan, selain .

"Cadangan ini bertujuan membantu suri rumah menambah pendapatan, selain mengelak pembaziran tenaga kerja dalam bidang perkhidmatan asuhan kanak-kanak.

Suri rumah yang berminat perlu memenuhi kriteria dan berdaftar dengan pihak berwajib untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti, meskipun dilakukan di rumah, " katanya.

Berita Harian X