Jumaat, 3 November 2017 | 3:04pm
BENDAHARI kehormat Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Datuk Maznah Abdul Jalil (kiri) bersama penulis buku Everything Nasi Lemak, Puan Sri Betty Saw pada sidang media sempena Majlis Makan Malam Amal Nostalgia Nasi Lemak, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Wanita terdedah jangkitan HIV/AIDS

KUALA LUMPUR: Kira-kira 12,578 wanita menghidap HIV/AIDS daripada keseluruhan 111,916 kes dalam tempoh 30 tahun dengan 413 kes baharu dikesan tahun lalu.

Meskipun angka itu hanya meliputi 11 peratus daripada jumlah keseluruhan, kes jangkitan baharu terhadap wanita tidak menunjukkan pengurangan atau tanda perlahan berbanding terhadap penghidap lelaki.

Ini kerana bagi setiap empat jangkitan baharu, satu dilaporkan dalam kalangan wanita sekali gus menunjukkan peningkatan ketara iaitu satu dalam 10 kes dalam kira-kira sedekad yang lalu.

Bendahari kehormat Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Datuk Maznah Abdul Jalil, berkata perkembangan itu membimbangkan berikutan satu pertiga daripadanya adalah suri rumah yang sebelum ini dianggap kumpulan sosial berisiko HIV paling rendah.

"Risiko HIV terhadap wanita semakin tinggi berikutan ketidaksamaan gender, stigma, perasaan terpinggir dan kemiskinan terutama di luar bandar yang kurang mempunyai akses pencegahan, rawatan, penjagaan dan sokongan pencegahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Makan Malam Amal Nostalgia Nasi Lemak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, penulis buku Everything Nasi Lemak, Puan Sri Betty Saw dan Pengarah Pemasaran dan Jualan Swiss-Garden Hotel & Residence Kuala Lumpur, Bryan Teo.

Majlis itu bakal diadakan pada 20 November ini, di hotel sama yang bertemakan How Nasi Lemak Can End AID.

Maznah berkata, majlis amal itu bertujuan mengumpul dana membantu pesakit wanita HIV dan AIDS di samping meningkatkan kesedaran awam seiring Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menghapuskan AIDS 2016-2030.

"Program ini bermatlamat dan usaha MAF membantu wanita yang terjejas HIV menerusi program pengaturcaraan berimpak tinggi seperti kaunseling psikososial, kesihatan literasi, sokongan hidup dan kemahiran vokasional supaya kumpulan sasar ini berupaya meningkatkan tahap kesihatan.

"Ini bertepatan kerana nasi lemak mempunyai nostalgia tersendiri, hidangan kegemaran ramai dengan setiap meja untuk tujuan amal ditawarkan antara RM3000, RM5,000 dan RM10,000 dengan diberikan pelepasan cukai," katanya.

Sementara itu, Betty berkata, nasi lemak menjadi hidangan kegemaran masyarakat berbilang bangsa dan ini adalah cara untuk masyarakat beramal membantu pesakit HIV yang kurang bernasib baik.

"Tidak adil terus jika kita terus meminggirkan wanita HIV hinggakan bilangan kes terhadap mereka semakin meningkat dari masa ke masa dan membiarkan mereka terus menderita tanpa dibantu.

"Menerusi inisiatif ini, saya berkongsi idea masakan seperti membawakan nasi lemak untuk majlis makan malam.

"Ini menyatakan sokongan termampu untuk membantu wanita HIV menikmati hidup tanpa stigma dan kehidupan baharu mereka," katanya yang dikenali sebagai cef selebriti dengan lebih 20 buku masakan.

Berita Harian X