Khamis, 2 November 2017 | 2:43pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad (kiri) beramah mesra dengan kontraktor yang menyertai Seminar Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) Untuk Kontraktor Bumiputera di Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Bina Pusat Kecemerlangan Rel Negara di Johor

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mencadangkan supaya Pusat Kecemerlangan Rel Negara yang dibentangkan dalam Bajet 2018 dibina di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata ketetapan itu diputuskan selepas mesyuarat EXCO semalam, akan dikemukakan kepada kerajaan Pusat.

Katanya, ia susulan Johor yang mempunyai banyak projek berkaitan industri rel termasuk Projek Keretapi Kuala Lumpur-Singapura Berkelajuan Tinggi (HSR) yang sekali gus menjadikan negeri ini sesuai bagi pembinaan pusat kecemerlangan rel itu.

Tapak pusat berkenaan katanya dicadangkan dibina di kawasan antara Johor Bahru - Pontian - Ulu Choh dan Skudai.

"Dalam Bajet 2018, menyatakan hasrat kerajaan melaksanakan Pusat Kecemerlangan Rel Negara, sewajarnya Johor berusaha menempatkan pusat itu di negeri ini.

"Ini peluang keemasan, khususnya kontraktor Bumiputera di Johor supaya dapat berusaha meningkatkan pengetahuan dalam bidang rel," katanya kepada sidang media selepas merasmikan Seminar Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) Untuk Kontraktor Bumiputera di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Johor, Othman Safar.

Hasni berkata, menerusi Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) dengan kerjasama CIDB dan Akademi Binaan Malaysia (ABM), ia bakal melengkapkan lagi kepakaran dan kemahiran kontraktor dalam industri rel.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hasni berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberi amaran supaya tidak lagi berdolak-dalik atau bertangguh bagi membantu syarikat Bumiputera melaksanakan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan empat tahun lalu.

Katanya, satu daripada tujuh inisiatif agenda itu ialah setiap GLC menyediakan pelan lengkap kaedah membantu syarikat Bumiputera.

"Kerajaan negeri sentiasa memantau projek yang diturunkan ke peringkat negeri, hendaklah disalurkan kepada syarikat Bumiputera.

"Saya suka mengingatkan kepada semua GLC sama ada di peringkat persekutuan, negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT), hendaklah mengikut standard perolehan Kementerian Kewangan supaya tender atau sebut harga hendaklah hanya boleh disertai syarikat berstatus Bumiputera sahaja," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X