Rabu, 1 November 2017 | 8:04pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hadir merasmikan buku 'Api - The Tiger of Kanowit' di Kuching, petang tadi. - Foto NSTP
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hadir merasmikan buku 'Api - The Tiger of Kanowit' di Kuching, petang tadi. - Foto Jannah Kho

Kenang jasa Cina Sarawak tentang komunis

KUCHING: Sumbangan kaum Cina menentang fahaman komunisme selama tiga dekad bermula 1960-an dan membentuk kestabilan politik di Sarawak, hari ini wajar dikenang.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kestabilan politik Sarawak dinikmati sekarang bukan terbentuk secara semula jadi, malah membabitkan keringat pegawai dan anggota keselamatan yang bergadai nyawa demi mempertahankan keamanan bumi bertuah itu.

Beliau berkata, mendiang Datuk Lawrence Lim Eng Liong, yang juga bekas Ketua Cawangan Khas Sarawak, sekitar tahun 1980-an adalah antara tokoh masyarakat Cina Sarawak, yang berperanan besar mematahkan cubaan komunisme bertapak di negeri itu.

Malah, katanya, mendiang juga kental berdepan penentangan bersenjata rakyat Sarawak, yang bersimpati dengan ideologi berkenaan.

"Walaupun tidak sempat bertemu dengan mendiang Eng Liong, reputasi mendiang pernah diceritakan arwah abang saya (Abang Omar Abdillah Abang Openg) ketika beliau menjawat jawatan sebagai Komandan pada era penentangan komunis di Sarawak.

"Arwah abang saya cukup menyanjungi jasa Eng Liong dan kehadiran saya merasmikan buku, 'Api - The Tiger of Kanowit' yang memahatkan jasanya, adalah tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangannya," katanya selepas menghadiri majlis perasmian buku berkenaan, di sini, petang tadi.

Api adalah gelaran masyarakat Iban di Kanowit, Sibu, yang diberikan kepada Eng Liong bagi menggambarkan keberaniannya berdepan ancaman bersenjata komunis di kawasan pedalaman Sarawak, selama tiga dekad sebelum penentangan mereka berakhir pada 17 Oktober 1990.

Walaupun Eng Liong dilahirkan dalam keluarga Cina, mendiang cukup fasih berbahasa Iban.

Abang Johari berkata, selepas kemerdekaan, Sarawak berdepan tentangan keras sebahagian masyarakat berhaluan kiri , yang menyokong perjuangan komunis.

"Lebih-lebih lagi pada era 1960-an, yang mana rantau ini dipengaruhi kuat dengan ideologi komunis dibawa Mao Zedong dari China, Ho Chin Minh di Vietnam dan Parti Komunis Indonesia (PKI), Indonesia, pimpinan Soekarno," katanya.

Katanya, ketika era berkenaan, pengaruh komunis dan sosialis begitu kuat berlegar di rantau ini, termasuk menyerap dalam pergerakan siasah politik tempatan.

"Tanpa pengorbanan individu seperti Eng Liong, yang kental mempertahankan keselamatan negeri ini daripada ancaman komunisme, pastinya Sarawak tidak seaman dan makmur seperti dilihat hari ini," katanya.

23 dibaca
Berita Harian X