Ahad, 29 Oktober 2017 | 9:06pm
WAYANG kulit sudah menjadi permainan Aqi sejak berusia dua tahun. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Tok dalang cilik 7 tahun

KUALA LUMPUR: Bukanlah luar biasa untuk menyaksikan lelaki dewasa, terutama yang sudah memasuki usia emas memegang peranan tok dalang dalam persembahan wayang kulit.

Bagaimana pula jika peranan tok dalang yang menjadi paksi utama dalam pementasan wayang kulit dipegang kanak-kanak yang belum pun mencecah usia tujuh tahun?

Ia semestinya pemandangan yang jarang berlaku tetapi dalam 'dunia' Kamarul Baihaqi Kamarul Baisah, ia bukanlah sesuatu yang pelik dan aneh.


PERWATAKAN malu-malu Aqi hilang sebaik berada di sebalik kelir. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Apatah lagi bagi Kamarul Baihaqi atau lebih dikenali dengan Aqi, wayang kulit sudah menjadi permainannya sejak dia berusia dua tahun.

Lebih unik apabila melihat bagaimana Aqi yang berperwatakan malu-malu tetapi sebaik berada di sebalik kelir, sifat pemalu itu terus 'hilang.'

Inilah yang penulis saksikan dengan mata sendiri sebaik Aqi mengendalikan boneka wayang kulit pada latihan dan pementasan Wayang Kulit Budak yang diadakan buat julung kali di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini.


ADIK Aqi, Kamarul Baituttah menjadi pemuzik termuda dengan bermain canang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Selain Aqi sebagai tok dalang, persembahan itu turut membariskan pemuzik berusia bawah 15 tahun termasuk adiknya, Kamarul Baituttah yang menjadi pemuzik termuda dengan bermain canang.

Sepanjang persembahan 45 minit itu, Aqi perlu mengendalikan sekitar tujuh boneka wayang kulit dan ia bukanlah tugas mudah bagi kanak-kanak seusianya.

"Saya sudah lama meminati wayang kulit dan akan berlatih wayang kulit bersama ayah setiap hujung minggu.


KAMARUL Baihaqi atau lebih dikenali dengan Aqi. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Untuk persembahan di ASWARA, ia menjadi pementasan pertama saya yang paling panjang dan watak yang paling saya gemari dalam pementasan Hikayat Rawana ini ialah watak Rawana itu sendiri," katanya.

Minat Aqi yang juga menjadi generasi ketiga dalam keluarga wayang kulit ini tidak menghairankan apatah lagi melihatkan darah seni ini yang mengalir daripada datuknya, Hussin Yusoff, iaitu tok dalang di Kelantan.

Malah, ibu bapanya, Kamarul Baisah Hussin dan Zamzuriah Zahari, masing-masing adalah penggiat seni tradisional, selain menjadi Pensyarah ASWARA.

Sementara itu, Kamarul Baisah berkata, ketika usia Aqi hanya satu tahun tiga bulan, anak sulungnya itu sudah menunjukkan penerimaan terhadap seni tradisional apabila mampu memalu gong mengikut rentak.


AQI cekap mengendalikan boneka wayang kulit di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Minat Aqi terhadap seni tradisional ini sebahagiannya disebabkan pendedahan yang diterima sejak kecil, malah sejak boleh berjalan, saya dan isteri sering membawanya ke ASWARA dan persembahan wayang kulit.

"Dia sebenarnya masih seperti kanak-kanak lain seusianya cuma wayang kulit sentiasa akan menarik minatnya malah jika tiada boneka wayang, Aqi akan mencari penyangkut baju sambil menggayakan aksi menjadi tok dalang," katanya.

Kamarul Baisah berkata, pementasan di ASWARA membawa cabaran tersendiri buat Aqi, apatah lagi dengan usianya yang masih terlalu muda.


AQI cekap mengendalikan boneka wayang kulit di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Kebiasaannya Aqi hanya mampu memfokus kepada latihan selama lima hingga 10 minit, sebelum kembali bermain-main. Jadi saya dan isteri, bukan saja perlu sentiasa bersabar malah kreatif dengan kaedah untuk melatihnya.

"Di dalam kereta, saya akan memainkan cakera padat wayang kulit dan menggunakan beberapa minit sebelum beliau tidur untuk bercerita dan membiasakan Aqi dengan Hikayat Rawana dan wataknya.

"Ada masanya 'mood' Aqi untuk berlatih hanya datang pada lewat malam ketika saya mahu melelapkan mata jadi saya biarkan beliau berlatih sambil ditemani dengan lampu telefon bimbit." katanya.

Di sebalik 'kerenggangan' generasi muda dengan wayang kulit, Kamarul Baisah yakin ia akan dapat dipulihkan dengan penerimaan dan galakan penggiat yang lebih berpengalaman seperti dilakukan adiguru dan Pensyarah Wayang Kulit ASWARA, Che Mohd Nasir Yusoff atau Pak Nasir.

Katanya, pendekatan Pak Nasir yang sering menggalakkan Aqi untuk bermain dengan boneka wayang kulit menjadi galakan besar yang dapat membantu memberi galakan kepada generasi muda untuk mendekati seni ini sejak dari awal.


AQI bersama barisan pemuzik ketika membuat persembahan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Ia sama sekali berbeza dengan zaman saya dulu. Ketika itu, kanak-kanak dilarang mendekati alat seni ini atas pelbagai alasan dan saya lihat pendekatan ini tidak akan membantu mereka untuk mengenali seni ini," katanya.

INFO

Pementasan Wayang Kulit Budak di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA):

- Diadakan sempena program Gema Seni Tradisional anjuran Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA).

- Dianjurkan sejak 2015, bagi mengangkat kesenian dan tokohnya ke pentas di ibu kota.

- Mendekatkan khalayak warga kota khususnya generasi muda agar mengenal dan menghayati keindahan seni budaya warisan bangsa.

- Antara yang mengambil bahagian, Makyung dari Pasir Mas; Wayang Kulit Dalang Cina Eyo Hock Seng; Caklempong; Seni Bertabik (main puteri) dan Ghazal.

Berita Harian X