Ahad, 29 Oktober 2017 | 12:44am
ADNAN (dua dari kanan) melancarkan skim Medical Malpractice Takaful pada Majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERDIM di sini, malam tadi. Foto - Nurul Nadira Shaari.

PERDIM perkenal skim insurans patuh syariah

KUANTAN: Skim Medical Malpractice Takaful, satu skim indemniti profesional patuh syariah diperkenalkan untuk melindungi pengamal perubatan am dan pakar di negara ini.

Ia ditawarkan oleh Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) dengan kerjasama Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) dan Antah Insurance Brokers Sdn Bhd (AIB).

Pengenalan skim itu amat wajar memandangkan masih ramai pengamal perubatan am dan pakar di Malaysia tidak dilindungi insurans apabila berlaku kes saman mahkamah berkaitan tugasan mereka.

Pelancarannya dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERDIM di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan Presiden PERDIM, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail.

Skim Medical Malpractice Takaful direka khas bagi menyediakan bantuan kewangan dan emosi kepada pengamal perubatan serta profesional terhadap sebarang liabiliti kewangan yang berkaitan dengan perubatan.

Antara manfaat ditawarkan ialah kos pembelaan dan ganti rugi termasuk penyelesaian luar mahkamah, perlindungan kos guaman untuk menghadiri siasatan pihak berkuasa, perlindungan penuh bermula hari pertama bertugas sebagai pengamal perubatan bertauliah serta perlindungan untuk waris dan perwakilan guaman.

Berita Harian X