Sabtu, 28 Oktober 2017 | 5:13pm

Mansuh tol EDL: Tunggu apa tindakan Singapura

JOHOR BAHRU: Pemansuhan kutipan tol di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) akan memberi kesan secara tidak langsung kepada Kerajaan Singapura, sama ada mereka akan turut memansuhkan bayaran tol di pintu masuk negara itu.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata kebiasaannya akan berlaku timbal balas daripada kerajaan republik itu yang menjadi amalan mereka menyelaraskan bayaran jika berlaku kenaikan atau penurunan oleh Kerajaan Malaysia.


AHLI Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad. - Foto Yazit Razali

Katanya, Singapura perlu mengambil kira dan membuat pendekatan sama apabila kerajaan memansuhkan kutipan tol di EDL yang kebanyakannya digunakan rakyat negara republik itu dan rakyat negara ini yang keluar masuk ke Singapura.

"Ia (pemansuhan kutipan tol EDL) akan membawa kesan kepada Singapura, timbal balas daripada mereka. Sekarang kita tunggu (tindakan Singapura) sama ada ia akan ambil kaedah sama atau tidak.

"Mungkin juga pemansuhan kutipan tol EDL dilakukan berikutan pendapatan di tol berkenaan tidak memberangsangkan," katanya ketika ditemui BH selepas mengadakan lawatan di tapak Karnival Jom Heboh di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2018 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan mulai 1 Januari 2018, kerajaan bersetuju memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor; Bukit Kayu Hitam, Kedah dan EDL di Johor.

Pengguna EDL yang melalui Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) akan dikenakan bayaran sebanyak RM6.80 bagi kenderaan Kelas 1, RM10.20 (Kelas 2), RM13.60 (Kelas 3), RM3.40 (Kelas 4) dan RM5.50 (Kelas 5).

Mengikut rekod, Singapura menaikkan kadar tol untuk semua kenderaan (kecuali motosikal) yang meninggalkan Singapura melalui Tambak Johor, mulai 1 Oktober 2014.

Kadar tol sedia ada bagi kereta yang meninggalkan Singapura kini adalah SGD3.80 (RM11.80), manakala van dan lori serta bas kecil SGD5.80 (RM18), teksi SGD3.10 (RM9.63) dan bas SGD1.90 (RM5.90)

Singapura turut mengenakan bayaran SGD2.70 (RM8.39) untuk kereta, SGD4 (RM12.43) untuk van/lori serta bas kecil, SGD5.30 (RM16.47) untuk kenderaan berat, SGD1.40 (RM4.35) untuk teksi dan SGD2.20 (RM6.84) bagi bas yang memasuki Singapura.

Berita Harian X