Jumaat, 27 Oktober 2017 | 6:13pm

RM250 juta untuk tingkat penguasaan STEM

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM250 juta diperuntukkan bagi meningkatkan penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata peruntukan itu membabitkan perbelanjaan bagi meningkatkan kesedaran terhadap STEM dalam kalangan warga sekolah dan penyediaan infrastruktur.

"Pertama, penubuhan pusat STEM bertujuan membentuk kaedah pembelajaran terkini, bagi melatih guru pakar STEM mengguna pakai fasiliti institut pendidikan guru sedia ada, dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia.

"Selain itu, ia juga bagi mempertingkatkan modul Sains Komputer termasuk program Coding dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah, yang kini sudah pun diwujudkan di Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga," katanya.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM190 juta bagi menaik taraf 2,000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad Ke-21, bagi meningkatkan pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif.

Berita Harian X