Jumaat, 27 Oktober 2017 | 12:33pm
SHAMSHUN Baharin dan Fadilah pada sidang media selepas pelancaran MS ISO 37001:2016, di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Piawaian tambah baik pengurusan sistem antirasuah

PUTRAJAYA: Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia) melancarkan piawaian Malaysian Standard (MS) MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) sebagai panduan kepada organisasi menambah baik pengurusan sistem antirasuah.

Ketua Pengarah Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin, berkata inisiatif membangunkan MS ISO 37001:2016 ABMS dijalankan sejak Mac lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggunapakai secara terus standard antarabangsa ISO 37001 ABMS - Keperluan Kepada Panduan Untuk Penggunaan.

Beliau berkata, MS ISO 37001:2016 ABMS menyediakan keperluan dan panduan untuk mewujudkan, melaksana, mengekalkan dan memperbaiki sistem pengurusan antirasuah.

Sistem ini, katanya, wujud secara bebas, disepadukan dengan sistem sedia ada, selain menjadi sistem pengurusan keseluruhan.

"Diharapkan dengan wujudnya MS ini, ia dapat membantu sektor awam, swasta dan entiti bukan berasaskan keuntungan melaksanakan langkah yang wajar dan bersesuaian ke arah mencegah berlakunya jenaya rasuah dalam organisasi mereka.

"Dengan kesungguhan pakar dalam bidang berkaitan pengurusan antirasuah dalam jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, pembangunan MS ISO 37001:2016 ABMS berjaya disiapkan dan mendapat kelulusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada 17 Oktober lalu.

"Daripada sejumlah 5,312 MS yang dibangunkan sehingga 30 September lalu, 16 daripadanya dibangunkan oleh Jawatankuasa Standard Perindustrian berkenaan Pengurusan Organisasi.

"MS ISO 37001 adalah satu daripadanya," katanya pada sidang media sempena pelancaran MS ISO 37001:2016, di sini, hari ini.

Shamshun Baharin berkata, SPRM sebagai agensi yang mengetuai dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini berperanan sebagai pengerusi dalam jawatankuasa teknikal MS ISO 37001:2016 bagi memastikan standard itu memenuhi kehendak dan keperluan organisasi di negara ini.

Beliau berkata, sistem itu juga akan menjadi satu panduan pencegahan rasuah kepada semua pihak selaras cadangan pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memasukkan undang-undang berkaitan liabiliti korporat, yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

"Liabiliti korporat adalah satu peruntukan kesalahan, bagi memastikan amalan akauntabiliti syarikat atau organisasi dalam usaha mencegah yang secara tidak langsung memberi impak positif kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta SPRM 2009," katanya.

Berita Harian X