Sabtu, 21 Oktober 2017 | 6:54pm
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama Ketua Setiausaha Kementerian, Borhan Dolah (kanan), Timbalan Menteri Alexander Nanta Linggi (dua kiri) Ketua Pegawai Operasi 11street, Chuljin Yoon (kiri), Ketua Pegawai Korporat Celcom Axiata Berhad, Zuraida Jamaluddin (tiga kiri) dan Michael Kuehner (tiga kanan) menerima barangan pesanan melalui online daripada perkhidmatan Pos Laju sebagai simbolik perlancaran DesaMall@Online di PWTC . - Foto Saifullizan Tamadi

DesalMall@Online kembang perniagaan usahawan desa

KUALA LUMPUR: DesaMall@Online, inisiatif di bawah Pelan Transformasi Luar Bandar Kementerian Luar Bandar dan Wilayah( KKLW) yang dilancarkan hari ini, adalah antara usaha kerajaan untuk memastikan usahawan desa tidak ketinggalan mendapat manfaat daripada perniagaan dalam talian.

Program yang kini disertai 150 usahawan desa yang berdaftar dengan portal beli belah dalam talian, 11street, mensasarkan peningkatan hasil jualan produk usahawan luar bandar sehingga 30 peratus setahun.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian mensasarkan 1,000 usahawan desa berdaftar dengan 11street, yang hanya mengenakan komisen antara lima hingga tujuh peratus menjelang akhir 2018.

Beliau berkata, usahawan desa perlu merebut peluang daripada pertumbuhan perniagaan dalam talian yang mempunyai potensi amat besar dengan nilai jualan dalam talian menerusi platform e-dagang di negara ini sebanyak RM24.6 bilion bagi tempoh 2010 hingga suku pertama tahun ini.

Katanya, dengan 16 juta pelanggan digital di negara ini, manakala 87 juta di rantau ASEAN, usahawan desa tidak seharusnya dibiarkan ketinggalan daripada menerima manfaat menerusi perniagaan dalam talian.

"Perniagaan dalam talian akan menjadi kaedah terpenting dalam dunia perniagaan yang dipenuhi pelanggan dalam kalangan orang muda.

"Platform e-dagang akan menjadi satu penyelesaian kepada usahawan desa yang sering berdepan dengan masalah pemasaran produk, sama ada untuk memasuki pasar raya besar atau mempromosikan produk di luar negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan DesaMall@online di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, daripada lima kluster produk usahawan yang diniagakan dalam talian, kluster makanan dan minuman merangkumi 65 peratus daripada jumlah jualan dalam DesaMall@Online.

Kluster lain ialah produk kesihatan dan kecantikan, pakaian, perhiasan dan aksesori serta kraftangan.

Sejak Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 berlangsung Khamis lalu, nilai jualan menerusi DesaMall@Online mencecah RM7,000.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KKLW, Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan 11street.

MoU ditandatangani Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dollah; Ketua Pegawai Operasi Celcom, Michael Kuehner dan Ketua Pegawai Operasi 11street, Chuljin Yoon.

Sebanyak 60 produk usahawan mula diniagakan di platform e-dagang 11street hasil kursus DesaMall@Online yang dijalankan atas jenama online store DesaMall.

54 dibaca
Berita Harian X