Rabu, 18 Oktober 2017 | 3:47pm
PENDIKIR Kelantan, Megat Nordin, selamat menjalani pembedahan membuang lebihan air akibat kanser hati yang dihidapinya di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II

Pendikir Megat Nordin selamat dibedah

KOTA BHARU: Pendikir Kelantan, Megat Nordin, selamat menjalani pembedahan membuang lebihan air akibat kanser hati yang dihidapinya di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, hari ini.

Pembedahan selama dua jam itu berjalan lancar untuk membuang lebihan cecair yang mengakibatkan bekas peserta Kilauan Emas 2014 itu tidak selesa dan sukar bernafas.

Isterinya, Khorunnisa Madiyoh, 48, berkata pembedahan selesai jam 12.45 tengah hari dan keadaan suaminya masih lemah dan letih.

Katanya yang bersyukur kerana semuanya berjalan lancar walaupun doktor memaklumkan cecair itu tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya dan pembedahan itu mungkin terpaksa dilakukan sekali lagi selepas ini.

"Malam tadi keadaan suami saya agak membimbangkan kerana dia tidak dapat tidur dan sukar bernafas. Alhamdulillah, selepas jalani pembedahan ini saya dapat lihat keadaannya menjadi lebih baik.

"Doktor akan menjalankan rawatan seterusnya kerana dikhuatiri saluran darahnya yang berdekatan jantung tersumbat. Namun, ianya bergantung kepada tahap kesihatan dan keadaan suami saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khorunnisa kini berniaga kecil-kecilan di depan rumah mereka untuk menyara keluarga dan menampung kos rawatan suaminya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Megat Nordin atau nama sebenar Nordin Yusoff, 56, terlantar sakit akibat sakit kanser hati sejak Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Khorunnissa berkata, buat masa ini dia terpaksa mengehadkan penerimaan pelawat memandangkan suaminya baru sahaja menjalani pembedahan dan perlukan rehat yang cukup.

"Selepas ini saya perlu menjaga makan dan minumnya sebaik mungkin selain memberi semangat untuk dia pulih

"Saya berterima kasih kepada saudara-mara, peminat serta kenalan yang datang melawat suami saya," katanya.

Tamat

Berita Harian X