Isnin, 16 Oktober 2017 | 11:39pm
TIADA anggota penguatkuasa berada di luar pondok polis bagi memerhati situasi yang berlaku di Pos Sempadan Tebedu- Entikong di bahagian Malaysia., di mana 'Kijang Sapu' mula beroperasi bermula jam 7 pagi. di Tebedu. - Foto Ihsan Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian

SOP kawalan sempadan perlu ditambah baik

amifaiz@bh.com.my

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan 'Kijang Sapu' membabitkan pengendali kereta sewa haram dari Kalimantan Barat, Indonesia yang berleluasa di pintu sempadan Entikong-Tebedu, Serian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal, berkata pendedahan BH mengenai kegiatan itu memperlihatkan prosedur standard operasi (SOP) kawalan keluar masuk kenderaan di pos sempadan itu perlu diteliti semula, termasuk kemungkinan wujud elemen negatif membabitkan pegawai dan anggota agensi kawalan sempadan.

Katanya, pihaknya memandang serius kebolosan kegiatan kereta sapu terbabit kerana ia mengundang masalah lain, terutama dari segi kawalan keselamatan dan kedaulatan negeri, selain ketenteraman awam.

"Tentunya kita tidak berkompromi sekiranya ada pegawai dan anggotanya terbabit menerima 'duit kopi' kerana ini menjejaskan imej baik polis. Saya juga yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan duduk diam dan pasti mereka akan menyiasat.

"Polis Sarawak mengambil sikap telus. Bagi saya tempoh 10 hari untuk kami dedahkan nilai rampasan termasuk dadah yang cuba bolos dari pintu sempadan berkenaan," katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.


BUKAN sahaja 'Kijang Sapu' mencuri penumpang, malah bas milik pengusaha tempatan turut berbuat perkara sama dengan bertindak mengambil penumpang, berbanding diarahkan hanya menurunkan penumpang sahaja diTebedu. - Foto Ihsan Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian

Bagaimanapun, Amer enggan mengulas lanjut membabitkan agensi mana yang terbabit dalam salah laku di pintu sempadan, sekali gus mengundang kebimbangan dari sudut keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Kelmarin, BH secara eksklusif mendedahkan warga Indonesia seolah-olah memiliki 'lesen besar' melintasi sempadan kedua-dua wilayah tanpa perlu menjalani pemeriksaan rapi, khususnya bagi membawa warga negara jiran berulang-alik di antara kedua-dua wilayah, sama ada untuk bekerja atau menjalani rawatan kesihatan di negeri ini.

Tidak cukup dengan itu, pemandu kereta sapu, kebanyakannya menggunakan Toyota Kijang, model kenderaan pelbagai guna (MPV) paling popular di Indonesia, turut membuka transit haram berhampiran pintu sempadan bagi menurun dan mengambil penumpang.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Sarawak, Ken Leben, berkata pihaknya tidak patut dipersalahkan dengan kemasukan Kijang Sapu kerana fungsi agensi berkenaan adalah memeriksa orang semata-mata.


TIADA anggota penguatkuasa berada di luar pondok polis bagi memerhati situasi yang berlaku di Pos Sempadan Tebedu- Entikong di bahagian Malaysia., di mana 'Kijang Sapu' mula beroperasi bermula jam 7 pagi. di Tebedu. - Foto Ihsan Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian.

"Kebanjiran kereta (Kijang Sapu) adalah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Kalau dokumen teratur, pihak imigresen akan memberi kemudahan masuk," katanya.

Usaha mendapatkan reaksi JPJ Sarawak dan LPKP Sarawak bagaimanapun gagal.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian, Jimmey Behon, berkata pihaknya sudah menyerahkan surat bantahan mengenai kemasukan kereta sapu dari negara jiran pada penghujung Ogos lalu, namun tiada maklum balas susulan selepas dua bulan pertemuan persatuan dengan agensi berkaitan.

"Kita ingatkan ada tindakan besar-besaran akan dilaksanakan, tetapi masalah kereta sapu masih berjalan. Malah, ia makin rancak beroperasi," katanya.

Difahamkan, pengendali kereta sapu dari Kalimantan Barat melabur RM37,000 untuk membeli secara tunai kenderaan model kompak di Bandaraya Kuching, khusus bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan.

Berbekalkan keuntungan hasil operasi kereta sapu, mereka dilihat semakin licik menukar modus operandi (MO) menggunakan kereta tempatan dengan nombor pendaftaran baharu, semata-mata mahu berlakon agar dilihat seperti warga tempatan.

Ia antara helah bagi mengabui mata pihak berkuasa, termasuk pengusaha teksi, kereta dan van sewa berdaftar di negeri ini, selain memastikan kerja haram mereka tidak dihidu pengusaha kereta sewa tempatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu, di sini.


KIJANG berani masuk ke kawasan parkir disediakan kepada pengusaha kereta sewa. di Tebedu. - Foto Ihsan Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian.

Sumber memberitahu BH, pengusaha 'Kijang Sapu' mampu membeli secara tunai kereta model kompak keluaran PERODUA, yang sekurang-kurangnya berharga RM37,000 seunit selepas berasa terancam dengan operasi mereka mula menimbulkan rasa tidak puas hati pengusaha kereta sewa.

"Dengan jumlah 'pelaburan' sebesar itu, bayangkan berapa banyak keuntungan diperoleh warga asing berkenaan daripada kegiatan berkenaan. Jika kereta sapu di pintu sempadan negeri ini tidak menjanjikan pendapatan lumayan, adakah mereka mampu membuat 'pelaburan' membeli kereta baharu semata-mata mahu mengubah MO?

"Kita sendiri pun sukar mengeluarkan belanja besar untuk membeli kereta baharu, apa lagi mahu membelinya secara tunai. Mereka tukar kereta baharu seperti beli baju dan seluar baharu," katanya.

Sumber berkata, pernah berlaku insiden beberapa pengusaha kereta dan van sewa berdaftar memecahkan cermin kereta 'Kijang Sapu' berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan kegiatan mereka.

"Pengusaha kereta sewa sahaja sebenarnya mempunyai hak dan berkuasa mengambil dan menurun penumpang seperti termaktub dalam undang-undang dikuatkuasakan LPKP Sarawak," katanya.

Katanya, Sarawak berterusan menjadi 'lubuk emas' pengusaha kereta sapu dari wilayah berjiran dan kemampuan mereka memiliki kereta keluaran tempatan secara bayaran tunai membuktikan operasi kereta sapu memberikan ganjaran lumayan.

"Faktor kemajuan Sarawak, selain perkhidmatan kesihatan berkualiti dan disifatkan murah, berbanding bandar di Kalimantan Barat mendorong banyak 'Kijang Sapu' masuk beroperasi kerana kebanjiran rakyat mereka ke negeri ini untuk bekerja dan mendapatkan rawatan kesihatan.

"Selepas mula takut dengan sikap agresif pengusaha kereta sewa tempatan, mereka 'memujuk' penumpang yang mahu mendapatkan rawatan kesihatan di Kuching, agar berkumpul di satu lokasi tertentu berdekatan pintu sempadan sebelah Malaysia, lalu mengambil penumpang secara pantas bagi memastikan operasi tidak diganggu," katanya.

Katanya, sikap agresif ditunjukkan pengusaha kereta sewa walaupun tidak disokong, faktor kemarahan mereka akibat pendapatan terjejas teruk adalah difahami.

"Kegiatan 'Kijang Sapu' sebenarnya mampu diatasi secara mudah sekiranya agensi berkaitan memainkan peranan aktif. Kegiatan `Kijang Sapu' bukan berlaku secara senyap, malah beroperasi secara terang-terangan di hadapan pihak berkuasa sejak sekian lama," katanya.

INFO

  • 73 jumlah keseluruhan pengusaha kereta, van sewa berdaftar di Serian.
  • 10 pengusaha kereta, van sewa berdaftar tempatan 'gulung tikar'.
  • Hanya 9 kereta, van sewa berdaftar beroperasi sehari kerana ketiadaan penumpang.
  • Pesara tentera, petani mengusahakan kereta, van sewa berdaftar.
Berita Harian X